Friday

KEMBALI SATU PENYELESAIAN (6)

KEMBALI MENGIKUT AKHLAK DAN PERIBADI NABI S.A.W.

Firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran: “Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah s.a.w. itu ikutan ( tauladan ) yang baik. Bagi mereka yg sentiasa hendak kembali kepada Allah S.W.T. pada hari akhirat. Dan menyebut nama Allah S.W.T. sebanyak-banyaknya.”

( Al-Ahzab A:21 S:33 J:21 M/S:420 )

Dari ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa tiada suatu pun cara kehidupan yang baik, melainkan cara Nabi s.a.w.

Kemudian Allah S.W.T menegaskan, orang-orang yang sen tiasa mencontohi Nabi Muhammad s.a.w adalah orang-orang yang benar-benar ingin bertemu dengan-Nya. Sebaliknya bagi mereka yang mengaku beriman tetapi memusuhi sunah-sunah Nabi s.a.w adalah pendusta agama.

Di akhir ayat ini, Allah S.W.T. menegaskan: “Dan mereka telah menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya.”

Bagi menghasilkan rasa cinta kepada Allah S.W.T dan Rasul s.a.w, kita hendaklah mengingati kebesaran Allah S.W.T dalam setiap masa dan keadaan.

Apabila Allah S.W.T menegaskan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w itu satu contoh tauladan yang baik, maka ternafilah adanya cara ikutan (undang-undang) yang lain daripada Nabi s.a.w seperti cara Yahudi, Nasrani, Majusi, Orentalis, Komunis, Sosialis, Nasionalis, Syaitanisma dan nafsu am'marah bil'suk.

Adakah kita lebih baik daripada Allah S.W.T sehingga berani menukar keterangan Allah S.W.T? Kita hambakah atau tuhankah? Apakah hak Allah dan apa hak hamba? Sekufur-kufur iblis pun ia takut hendak mengaku dirinya tuhan. Tetapi ada manusia masih sanggup mengaku dirinya tuhan (Firaun) dan mengubah ayat Al-Quran (golongan kufur dan munafik).

Sekufur iblis apabila hendak mengajak anak Adam mengikutnya pun terpaksa meminta izin kepada Allah S.W.T. Kenapa kita pula terang-terang hendak mengubah suruhan Allah S.W.T?

Firman Allah di dalam Al-Quran mengenai perbuatan iblis dengan Allah S.W.T: Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau, aku ( iblis ) akan menyesatkan mereka ( anak adam ) semuanya kecuali hamba-Mu yg ikhlas.” ( Saad A:82 & 83 S:38 J:23 M/S:457 )

Pada ayat mula-mula tadi, Allah S.W.T. telah menegaskan: “Pada Rasulullah s.a.w itu ikutan yang baik namun kenapa kita masih cinta kepada cara syaitan dan kafir laknatullah."

Kenapa begini? Perkara sebegini berlaku kerana hati manusia itu tidak ada perasaan hendak kembali kepada Allah S.W.T. dan hari akhirat. Keterangan ini adalah lawan daripada ayat: “Mereka yang mengikut Rasulullah s.a.w. adalah mereka yang hendak kembali kepada Allah dan hari kiamat.”

Keingkaran ini adalah kerana hati manusia itu telah menjadi buta di dalam kecelikan. Buta kebenaran syariat, tarikat dan hakikat Nabi s.a.w. Akhirnya terus buta dengan makrifat kepada Allah S.W.T.

Seorang penyair telah berkata: "Kamu berpura-pura menjadi kekasih Allah, pada hal kamu tidak menurut perintah-perintah-Nya. Jikalau kamu kekasih yang benar, kamu tidak akan membantahi kerana seorang kekasih akan menurut suruhan-suruhan kekasihnya."

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: "Sekelian umat aku akan masuk syurga tetapi bukanlah mereka yang menolak daku."

Para sahabat bertanya: "Siapakah yang menolak?"

Jawab baginda: "Mereka yang mengikut aku akan masuk ke syurga dan mereka yang membantahi aku, mereka menolak daku."

Di dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Tiada seorang pun yang benar-benar akan menjadi orang yang beriman, melainkan ia ikut apa yang aku bawakan iaitu Al-Quran."

Bagaimana kita boleh mengaku menjadi seorang Muslim, jika segala suruhan dan larangan Allah S.W.T dan Rasul-Nya kita ingkari? Marilah kita sama-sama beristighfar, berselawat, berzikir dengan panduan Al-Quran dan Sunah Nabi s.a.w dan awlia'.

Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran: "Apa yang ditunjukkan oleh Rasul, maka hendaklah kamu mengambilnya. Apa yang ditegahnya, maka hendaklah kamu memberhentikannya." (Al-Hasyhar A:7 S:59 J:28 M/S:546)

Keingkaran ini adalah disebabkan oleh kekufuran kita kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Kehendak Allah S.W.T dan Rasulullah s.a.w diketepikan, sebaliknya kehendak syaitan laknatullah dan hawa nafsu dituruti.

Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran: “Mereka berkata, hati kami tertutup. Tetapi sebenarnya Allah S.W.T. telah mengutuk ( melaknat ) mereka kerana keingkaran mereka.”

(Al-Baqarah A:88 S:1 J:1 M/S:13)

Firman Allah S.W.T lagi: "Katakanlah wahai Muhammad! Kalau kamu benar-benar cintakan Allah, maka ikutlah Aku. Kemudian Allah S.W.T akan mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang." (Ali Imran A:31 S:3 J:3 M/S:54)

Ayat ini menegaskan barangsiapa mengikuti Rasulullah s.a.w adalah dekat dengan Allah S.W.T. Barangsiapa tidak mengikuti Rasulullah s.a.w, maka ia akan terjauh dari Rasulullah s.a.w dan tidak mendapat rahmat Allah S.W.T.



MEMERHATI KEJADIAN LANGIT DAN BUMI

Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran: “Mereka yang mengingati Allah S.W.T. sambil berdiri, duduk dan di dalam keadaan berbaring dan memikirkan kejadian langit dan bumi….” (Ali Imran A: 191 S:3 J:4 M/S:75)

Syeikh Huna telah berkata di dalam syarahan beliau kepada muridnya: “Barangsiapa yang hendak beribadat kepada Allah S.W.T dengan memerlukan tempat yang tertentu, jika tiada tempat maka tiada ia mahu beribadat, maka adalah ia seumpama lembu."

Di dalam ayat di atas, Allah S.W.T mene gaskan bahawa yang beribadat kepada Allah S.W.T adalah setiap masa dan keadaan mengikut hal keadaan pekerjaan masing-masing.

Jika ia seorang peniaga, maka hendaklah ia mengingati Allah pada perniagaannya. Begitu juga jika ia seorang pemimpin, buruh kasar, pelajar atau apa peringkat sekalipun, tetap ia mengingati Allah S.W.T.

Di samping itu, kita juga diperintah supaya memikirkan pada setiap kejadian Allah jadikan. Hasil pemikiran ini akan membuahkan keimanan sepertimana maksud ayat di atas.



MEMUPUK KEMBALI SIFAT KASIH SAYANG DI KALANGAN ADIK BERADIK

Bagi memupuk sifat kasih sayang di kalangan adik-beradik, hendaklah ianya diasuh sejak dari kecil lagi.

Imam Ghazali menegaskan bahawa apabila anak-anak sudah TAMYIZ, hendaklah dijaga adab kesopanan di waktu makan dan bahan yang dimakan. Jangan dibiasakan anak-anak makan bermewah-mewahan. Latihlah anak anak supaya jangan menjadi tamak dengan makanan yang dimilikinya.

Biasakanlah anak-anak supaya makan secara berjemaah bersama ibu bapa dan adik beradik. Hendaklah dipastikan supaya anak-anak tidak mencapai makanan selagi ibu bapa tidak merasainya terlebih dahulu. Jika ibu bapa tiada, maka hendaklah makanan itu diambil oleh orang yang lebih tua daripadanya.,

Semasa makan juga hendaklah dipastikan mereka makan di satu tempat. Jangan dibenarkan anak-anak makan di tempat yang berasingan seperti si kakak makan di hadapan tv, si adik pula makan di dalam bilik atau seumpamanya.

Apabila amalan makan secara berasingan ini telah menjadi tabiat, lambat-laun ia akan membentuk sifat mementingkan diri sendiri. Di samping itu, tabiat yang sedemikian akan melatih anak-anak bersifat tamak, berkelahi sesama sendiri apabila haknya diambil oleh adik-adiknya yang lain. Akhirnya sifat ini yang demikian akan menghilangkan sifat kasih sayang di kalangan adik-beradik serta menghilangkan sifat hormat-menghormati di antara satu sama lain.

Dari titik permulaan inilah akan mengakibatkan sifat permusuhan di antara adik-beradik sehingga dewasa atau mungkin juga sehingga mati.

Di samping itu juga, hendaklah diambil kira dari segi pakaian anak-anak sejak ia dari bayi lagi. Janganlah dibiasakan anak-anak kita memakai pakaian yang mendedahkan aurat. Juga diingatkan supaya anak-anak kita tidak memakai pakaian yang bergambar-gambar atau yang tidak bersesuaian dengan sifat seseorang muslim yang muttakin.

Jika anak-anak sudah dibiasakan dengan pakaian yang bukan menunjukkan sifat seorang muslim yang muttakin, tetapi sebaliknya telah dibiasakan dengan sifat pakaian orang yang keruntuhan moral, nescaya apabila ia dewasa kelak anak-anak tersebut akan berterusan dengan pakaian tersebut.

Kita sedia maklum, kebiasaan anak-anak yang bermoral rendah adalah mereka yang tidak pernah menonjolkan sifat pakaian seorang muslim yang muttakin.

Bagi anak lelaki, pada permulaannya akan mengenakan pakaian berupa seluar besar, kemudian akan menukarkan dengan pakaian yang londeh atau seumpamanya. Akhirnya mereka lebih gemar mengenakan pakaian yang mendedahkan aurat.

Bagi anak perempuan pula, akan memakai pakaian seperti lelaki dengan berseluar ketat, t-shirt pendek serta sempit. Pakaian begini akan menampakkan bentuk tubuh mereka, tanpa rasa malu.

Keadaan mereka yang sebegini rupa akan menyebabkan nafsu lelaki melonjak dan berusaha untuk memilikinya. Hal sebegini akan menjadikan satu punca berlakunya kes-kes rogol dan pencabulan.

Ternyata pakaian kebanyakan anak-anak gadis pada dewasa ini tidak ubah seperti pakaian pelacur.

Lebih dahsyat, akibat pengaruh suasana masyarakat hari ini, remaja terus hanyut dengan berkiblatkan wang dan kemewahan. Apabila remaja tersebut tidak memperolehi wang bagi membeli keperluan, mereka akan mudah terjebak dengan kegiatan hina seperti mencuri, peras ugut dan bagi anak-anak gadis pula, mungkin dengan menjual maruah diri. Beginilah akibat mengabaikan sifat kekeluargaan serta punca makanan dan pakaian.



BERDOA

Berdoa adalah satu amalan yang sangat penting di dalam menyelesaikan masalah. Tetapi ia telah dilupakan oleh kebanyakan orang. Cuba kita renungkan kembali berapa kali kita berdoa kepada Allah S.W.T. bagi menyelesaikan segala hajat dan masalah kita?

Jika kita seorang ibu atau bapa, berapa kalikah kita pernah berdoa bagi keimanan dan keselamatan anak-anak kita?

Begitu juga jika kita sebagai seorang anak, berapa kalikah kita berdoa untuk keimanan dan kesejahteraan ibu bapa serta keluarga kita?

Bagi pendidik, berapa banyakkah ia telah berdoa bagi menyelesaikan masalah disiplin murid-murid mereka?

Golongan pemimpin pula berapa lamakah mereka pernah menyatakan kebodohan mereka terhadap Illahi? Berapa banyakkah mereka mengeluarkan air mata apabila melihat keruntuhan moral anak rakyat mereka sendiri?

Sebaliknya ibu bapa, pendidik, pemimpin atau insan perseorangan hanya menempelak orang di bawah tanggungan mereka. Mereka hanya tahu melafazkan umpat keji, kutukan, seranah dan seumpamanya.

Ingatlah! Perkataan yang kita lafazkan tersebut merupakan doa kita kepada mereka. Apabila orang berkata; "Engkau anak jahat atau engkau anak celaka!" lama-kelamaannya anak itu akan menjadi jahat atau celaka seperti yang dikatakan.

Oleh itu hendaklah kita sentiasa bersangka baik dengan segala makhluk Allah S.W.T. Awasilah bahawa Allah S.W.T menjadikan mereka sedemikian rupa adalah sebagai ujian kepada kita. Jika kita berhadapan dengan anak atau murid yang kurang cerdik, hendaklah kita renung kembali bahawa kita juga berasal dari orang yang tidak berpengetahuan. Ilmu yang ada pada kita adalah semata-mata anugerah dari Allah S.W.T.

Apabila kita berhadapan dengan anak-anak yang nakal, hendaklah kita bersyukur ke hadrat Allah kerana kita masih menjadi orang baik. Berdoalah kepada Allah semoga kita dan mereka juga menjadi baik. Adakah kita mengetahui kemanakah kesudahan hayat kita? Mungkin pada waktu ini kita beriman kepada Allah S.W.T dan Nabi s.a.w tetapi pada akhir hayat kita menjadi kufur dengan Allah S.W.T.

Kesimpulannya, hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T. supaya kita mendapat keimanan yang jitu. Amalan berdoa ini telah menjadi tradisi Nabi s.a.w kepada umat-umatnya. Begitu juga yang terjadi kepada orang-orang soleh.

Syeikh Darkauwiah telah menyatakan di dalam penulisan beliau seperti berikut: "Janganlah kamu hendak memukul Yahudi, Nasrani atau orang Muslim yang asi tetapi palulah nafsu yang berada di dalam diri kamu sendiri."

Kenyataan ini menyatakan seolah-olah kejahatan dan kesilapan seseorang insan itu juga bermula dari diri kita sendiri. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah S.W.T. Janganlah dengan mudahnya kita melafazkan perkataan yang tidak boleh memberi manfaat kepada semua makhluk Allah terutamanya yang bergelar insan (manusia).

No comments:

Post a Comment