Friday

KEMBALI SATU PENYELESAIAN (4)

Kembali Satu Penyelesaian (4)



54. Barangsiapa sentiasa berzikir, ia akan masuk ke dalam syurga tersenyum-senyum.

55. Segala amalan diwajibkan semata-mata kerana zikrullah.

56. Amalan yang paling afdal ialah amalan yang disertakan zikir sebanyak-banyaknya. Puasa yang paling afdal ialah puasa yang disertakan zikir sebanyak-banyaknya. Haji yang paling afdal ialah haji yang disertakan dengan zikir sebanyak-banyaknya. Demikian juga jihad dan amalan yang lain-lain.

57. Zikir ialah pengganti bagi ibadat-ibadat nafilah (ibadat-ibadat sunat). Pada satu ketika, satu golongan orang yang miskin telah datang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w merayu hal mereka kepada Rasulullah s.a.w:

“Ya, Rasulullah s.aw! Saudara kami yang berharta-benda telah meningkat darjat yang setinggi-tingginya disebabkan harta kekayaan mereka. Mereka bersembahyang seperti kami bersembahyang, mereka berpuasa seperti kami berpuasa, tetapi kerana harta kekayaan, mereka telah mendahului kami dengan mengerjakan haji, umrah, jihad dan lain-lain."

Sebagai menjawab Rasulullah s.aw bersabda:

"Mahukah kamu sekelian aku ajarkan sesuatu untuk mendahului sesama kamu sehingga tiadalah lagi seorang pun yang lebih afdal daripada kamu kecuali orang yang berbuat seperti yang kamu perbuat?"

Selanjutnya Baginda Rasulullah s.a.w bersabda:

"Bacalah kamu sekelian selepas tiap-tiap sembahyang." (berzikir)

Ini menunjukkan bahawa Baginda Rasulullah s.a.w menganggap zikir ini sebagai pengganti haji, urnrah, jihad dan lain-lain (bagi orang yang tidak berada).

58. Zikir adalah pendorong bagi ibadat-ibadat lain. Dengan berzikir sebanyak-banyaknya, maka ibadat yang lain itu menjadi lebih mudah dan senang malah kelazatan ibadat-ibadat itu pun dirasai benar. Oleh itu, semua ibadat itu dapat dikerjakan tanpa keberatan dan kesukaran apa-apa.

59. Dengan berzikir, semua keberatan akan menjadi ringan. Setiap kesukaran akan menjadi ringan dan semua bala bencana akan lenyap.

60. Lantaran zikirlah, segala rupa ketakutan dan kebimbangan akan terhindar. Zikrullah adalah mempunyai satu kuasa yang khas untuk melahirkan ketenteraman dan akan melenyapkan ketakutan. Ianya mempunyai kesan yang istimewa di mana semakin berzikir sebanyak-banyaknya, semakin itulah akan mencapai ketenteraman dan akan lenyap ketakutan.

61. Zikir adalah melahirkan kekuatan dan tenaga yang terkhas kepada manusia. Dengan kekuatan itu, ia dapat menyelenggarakan urusan-urusan yang agak sukar.

62. Pemberesan urusan-urusan akhirat adalah dahulu-mendahului di antara satu sama lain. Di dalam mendahului antara satu sama lain ini, yang kelihatan di hadapan sekali ialah orang-orang yang berzikir.

Diriwayatkan dari Omar Khadam Gufarah r.a katanya:

"Apabila amal perbuatan manusia diganjari pada hari kiamat maka sebahagian besar dari manusia akan menyesal sambil berkata:

"Alangkah bagusnya jika dahulunya kita memperbanyakkan amalan yang ringan dan mudah sekali iaitu zikir."

Di dalam sebuah hadis ada dilaporkan bahawa Baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Telah mendahului mereka yang mufarrid."

Para sahabat bertanya:

"Siapakah yang mufarrid itu, ya Rasulullah?"

Baginda menjawab: "Mereka yang mengingati Allah sebanyak-banyaknya kerana zikir adalah meringankan bebanan mereka."

63. Allah S.W.T sendiri membenarkan dan memuji orang-orang yang berzikir. Orang-orang yang dibenarkan oleh Allah S.W.T tidaklah akan dibangkitkan bersama-sama orang yang berdusta.

64. Zikir adalah menyebabkan terbinanya rumah di dalam syurga. Apabila seseorang hamba berhenti daripada berzikir maka para malaikat berhenti daripada membina rumah itu. Apabila mereka ditanya, "Mengapakah kamu berhenti membina rumah itu?" Maka mereka menjawab, "Bahawa perbelanjaannya belum tiba lagi."

Di dalam sebuah hadis lagi ada disebutkan barangsiapa yang mengucapkan (berzikir) sebanyak 7 kali, nescaya dibinakan satu menara untuknya di dalam syurga.

65. Zikir adalah perisai atau pendinding bagi Neraka Jahannam. Barangsiapa yang dimasukkan ke dalamnya kerana amal perbuatannya yang tidak baik, maka zikirnya itu menjadi pendinding di antaranya dengan Neraka Jahannam tersebut. Semakin banyak berzikir dibuat maka semakin kuatlah pendinding itu.

66. Para malaikat beristighfar (memohon keampunan) bagi orang yang berzikir.

Diberitakan kepada Amar bin Aas r.a yang beliau meriwayatkan bahawa apabila seseorang hamba mengucapkan (berzikir) maka para malaikat berkata, "Ya, Allah! Ampunilah dia." (Dan termaklum bahawa doa para malaikat itu tidak ditolak malahan terus dikabulkan).

67. Jika seseorang berzikir di atas gunung atau di tanah datar, maka tempat tersebut akan merasa bangga. Di dalam sebuah hadis ada diberitakan bahawa gunung-gunung bertanya tanyakan di antara satu sama lain bahawa hari ini adakah seseorang yang berzikir itu melalui di atas engkau. Jika diberitahukan, "Ya, ada yang melaluinya maka ia akan berasa gembira lagi bangga."

68. Memperbanyakkan zikir adalah merupakan sijil bagi kelepasan bagi kemunafikan. Allah S.WT telah berfirman:

"Mereka tidak mengingati Allah melainkan sedikit."

(An-Nisa A:142 S:4 J:5 M/S:101)

Ka'ab Akhbar r.a berkata:

"Barangsiapa berzikir sebanyak-banyaknya terpelihara ia daripada kemunafikan."

69. Berbanding dengan amalan-amalan yang baik maka zikir mempunyai satu kelazatan yang tidak didapati pada amalan amalan yang lain. Jika zikir tidak mempunyai satu fadilat pun selain daripada kelazatan tadi maka memadailah dia.

Malik bin Dinar r.a berkata, "Bahawa seseorang tidak akan berasa lazat dari suatu apa pun seperti kelazatan berzikir."

70. Pada wajah orang berzikir itu didapati kegembiraan di dunia ini dan akan kelihatan nur padanya di hari kiamat.

71. Barangsiapa yang mengingati Allah sebanyak-banyaknya di tengah-tengah jalan, di rumah, di dalam safar dan ketika berada di dalam kampung, maka ia akan mempunyai pembela-pembela yang ramai sekali di hari hisab kelak. Di dalam menerangkan keadaan hari kiamat, Allah S.W.T berfirman:

“Pada hari itu (yakni hari kiamat) bumi menceritakan berita-beritanya."

Baginda Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabat:

"Tahukah kamu berita-berita bumi itu?"

Mereka menjawab:

"Tidak. Kami tidak tahu, ya Rasulullah s.a.w."

Baginda Rasulullah s.a.w bersabda:

"Pekerjaan-pekerjaan yang dibuat oleh lelaki dan wanita (sama ada pekerjaan yang baik ataupun yang buruk) di permukaan bumi ini, maka bumi akan menceritakan bahawa si fulan pernah melakukan sekian perbuatan di sekian tempat di permukaannya pada sekian masa. Oleh itu, orang-orang yang berzikir sebanyak-banyaknya di tempat-tempat yang berlainan maka dia akan mempunyai saksi yang banyak di hari hisab nanti."

72. Selama lidah sibuk dengan berzikir maka selama itulah ia terpelihara daripada perbicaraan yang sia-sia, berdusta, mengumpat dan sebagainya. Kerana lidah itu sememangnya tidak bisa diam, ia akan sibuk berzikir kalau tidak sudah tentu dengan kesia-siaan. Demikian juga halnya hati jika ia tidak sibuk dengan mencintai Khalik, maka sudah tentu ia sibuk dengan mencintai makhluk.

73. Syaitan adalah musuh manusia yang nyata. Ia mencampakkan manusia di dalam kancah kerunsingan dan kegelisahan dengan berbagai cara. Ia juga mengerumuni mereka dari tiap penjuru. Orang yang halnya sedemikian rupa, ia sentiasa berada di tengah-tengah lingkungan para musuh yang mana tiap-tiap seorang daripadanya ingin menimpa ke atasnya penderitaan demi penderitaan.

Tiada cara untuk mematahkan serangan musuh itu melainkan dengan zikrullah. Ada banyak hadis yang mengandungi doa-doa yang mana dengan membacanya sebelum tidur maka terpeliharalah dari musuh-musuh itu selama lamanya.

Kelebihan-kelebihan di atas memadailah mereka yag mendapat taufik untuk mengamalkannya. Bagi mereka yang tiada mendapat taufik, maka beribu-ribu fadilat pun tidak berguna sama sekali.


MENDIRIKAN SOLAT, MEMBACA AL-QURAN DAN HADIS

Abdullah bin Qutr r.a meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Solatlah yang pertama sekali yang akan disoal pada hari kiamat. Kalau ia didapati memuaskan, maka amalan yang lain pula turut memuaskan. Jika ia tidak memuaskan, maka amalan yang lain juga turut tertolak. " (Hadis Riwayat Tabrani)

Sayidina Umar r.a pernah berkata kepada pegawai pegawainya, "Aku memandang solat satu kewajipan yang paling penting. Seseorang yang memberi penuh perhatian pada solatnya, mungkin juga menjaga amalan-amalan yang lain. Tetapi kalau ia meninggalkan solat dengan mudah ia akan meninggalkan ajaran Islam yang lain."

Keterangan Sayidina Umar r.a tersebut jelas terbukti jika kita lihat pada diri orang yang meninggalkan solat, ia tidak segan silu melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.

Bagi diri remaja, mula-mula akan menukar fesyen rambutnya (punk), berseluar londeh atau pendek. Kemudian akan memakai baju yang mempunyai gambar yang kurang sopan. Seterusnya ia tidak segan-silu melakukan percampuran bebas di antara lelaki dan perempuan. Mereka ini juga tidak segan-silu akan mengganggu anak-anak gadis yang lalu-lalang di hadapan mereka. Bagi anak-anak gadis itu, tidak segan-silu akan melambai-lambai atau membuat perangai supaya pihak lelaki tertarik kepada mereka. Mereka ini tidak ubah seperti pelacur yang sedang mencari mangsanya.

Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Sesungguhnya solat itu mencegah fahsya dan mungkar."

(Al-Ankabut A:45 S:29 J:20 M/S:401)

Tetapi kenapa masih ramai di kalangan kita yang bersolat tetapi masih melakukan kemaksiatan?

Perkara ini telah ditegaskan oleh Syeikh kami di dalam syarahan beliau, "Sembahyang kita tidak dapat mencegah kemungkaran kerana hati-hati kita masih lalai mengingati Allah S.W.T.”

Tujuan peribadatan ialah mengingati Allah. Jikalau di dalam pengibadatan kita lalai dengan Allah, bagaimanakah kita boleh mengingati Allah di luar masa beribadat.

Telah berkata oleh Imran bin Husin r.a:

"Ada seorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang makna ayat Al-Quran di atas.

Jawab Baginda s.a.w:

"Solat itu bukanlah solat kalau ia tidak mencegah fahsya dan mungkar."

Kalau solat dilakukan dengan tertib dan sempurna, ia akan mencegah daripada kemungkaran. Kalau ia tidak dapat mencegah kesalahan dan kemungkaran, pastilah kita akan melakukan kekurangan di dalam mengerjakan solat."

Ibnu Abbas r.a berkata:

"Solat mempunyai kuasa untuk mencegah kecenderungan melakukan dosa."

Abdul 'Aliah r.a mentafsirkan ayat berikut, "Ada tiga perkara yang wajib di dalam solat iaitu IKHLAS, TAQWA dan MENGINGATI ALLAH. Solat itu bukanlah solat kalau tidak ada ketiga tiga perkara ini. Ikhlas membawa kepada amalan soleh. Taqwa menjauhkan maksiat dan mengingati Allah. Membaca Al-Quran dengan sendirinya menjadi petunjuk kepada jalan kebajikan serta pencegah kemaksiatan."

Ibnu Abbas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w ada bersabda:

"Solat yang tidak mencegah fahsya dan mungkar membawa kita jauh dari Allah."

Ibnu Masud r.a meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

"Solat yang tidak dapat mencegah fahsya dan mungkar bukanlah solat."

Abu Hurairah r.a meriwayatkan ada seorang datang melaporkan kepada Rasulullah s.a.w tentang seorang yang melakukan solat pada sepanjang malam. Selepas itu, ia mencuri sebelum fajar. Sabda Rasulullah s.a.w: "Solatnya tidak lama lagi akan mencegahkannya dari dosa itu."

Hal ini menunjukkan bahawa tabiat melakukan maksiat dapat dihentikan dengan tekun bersolat dan ikhlas. Adalah sukar dan akan memakan masa yang panjang hendak menjauhkan diri dari satu-satu tabiat yang buruk. Adalah lebih cepat bagi meninggalkan tabiat yang buruk itu dengan melakukan solat dengan tertib. Manakala dengan rahmat Allah yang menyusulinya, tabiat buruk akan pastinya terhapus satu persatu.

Solat yang tertib adalah sepertimana solat sahabat Nabi s.a.w. Apabila hendak melakukan solat mereka tidak akan memandang ke sana ke mari atau meratakan pasir-pasir pada tempat sujud semasa bersujud. Mereka juga tidak melakukan perkara yang ganjil-ganjil atau memikirkan sebarang hal keduniaan kerana semata-mata takut kepada Allah S.W.T.

Ada diriwayatkan bahawa kaki Nabi s.a.w bengkak kerana lama berdiri di dalam solat tahajud. Apabila sahabat baginda meminta mengurangkan usaha solatnya kerana baginda telah diberi jaminan keampunan di dalam Surah Fathir.

"Bahawa Allah akan mengampunkan dosa-dosamu (Nabi Muhammad) yang telah lalu dan yang akan datang."

(Al-Fath A:2 S:48 J:26 M/S:51 1)

Baginda menjawab: "Adakah aku patut tidak mahu menjadi seorang hamba Allah yang tidak berterima kasih."

(Rujukan Fadilat Solat - Maulana Zakaria)



PERINGATAN:

Sungguhpun solat kita tidak sedarjat dengan solat orang-orang soleh maka janganlah pula kita meninggalkan ibadat itu. Solat yang kurang sempurna adalah lebih baik daripada tidak bersolat langsung, kerana akibatya ialah siksaan yang paling pedih di akhirat kelak. Marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa kepada Allah moga-moga diberi taufik dan hidayah. Sekurang-kurangnya ada satu solat yang sempurna yang dapat kita persembahkan kepada Allah S.W.T.



MEMBACA AL-QURAN

Sabda Nabi s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Umar r.a:

“Sesungguhnya hati-hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dirosakkan oleh air."

Kemudian seorang sahabat bertanya: “Ya, Rasulullah! Apakah caranya untuk menjadikan hati hati itu bersinar kembali?" Rasulullah s.a.w menjawab: "Selalulah mengingati maut (mati) dan membaca Al-Quran."

Hadis ini menegaskan bahawa jika kita tidak membaca Al-Quran, nescaya hati-hati kita akan menjadi berkarat (zulumat dosa).

Dosa yang berlebih-lebihan dan kelalaian kita dalam mentaati perintah Allah, menyebabkan hati menjadi keras. Membaca Al-Quran dan mengingati maut adalah salah satu cara untuk menyinarkannya kembali.

Hati ini umpama cermin. Jikalau ianya tidak dibersihkan, ia tidak akan dapat memancarkan kembali pengenalannya kepada Allah. Lebih berkilau dan lebih bersinarnya hati itu adalah lebih baik baginya dalam memancarkan kembali sinar makrifat (mengenal) Allah.

Jika lebih lama kita meninggalkan solat, bergaul bebas, durhaka kepada ibu bapa dan guru, nescaya lebih banyaklah kita dijauhkan daripada mengingati dan mentaati Allah Yang Maha Berkuasa (kita menjadi liar, rosak akhlak).

Selain daripada itu, Rasulullah s.a.w juga menegaskan bahawa jika seseorang itu melakukan satu dosa, satu titik hitam akan terlekat di hatinya. Jikalau ia bertaubat dengan sebenar-benar taubat titik itu akan hilang, tetapi jika ia melakukan lagi dosa, satu titik hitam yang lain akan muncul. Tegasnya jika kita terus menerus melakukan dosa demi dosa, hatinya akan menjadi hitam keseluruhannya. Pada peringkat ini, hati itu akan menjadi amat sukar untuk condong ke arah kebaikan dan sebaliknya berpaling menuju kepada perbuatan-perbuatan maksiat.

Keterangan ini amat jelas, apabila kita perhatikan ada remaja yang bermasalah adalah terdiri daripada mereka yang tidak tahu membaca Al-Quran atau tidak belajar isi kandungan Al-Quran.


bersambung

No comments:

Post a Comment