KEMBALI SATU PENYELESAIAN (2)
PERGAULAN BEBAS
Antara kesan dari bergaul dengan sahabat yang rendah moral, akan menjerumuskan kita ke dalam golongan percampuran bebas lalu akhirnya akan berlaku penzinaan.
Hasil daripada pergaulan bebas ini, kita sering mendengar dan terbaca isu-isu pembuangan anak, pengguguran, perogolan dan pembunuhan.
Allah telah memperingatkan kita supaya tidak melakukan pergaulan bebas di dalam Firman-Nya:
"Dan janganlah kamu mendekati penzinaan, sesungguhnya penzinaan itu adalah satu perbuatan yang keji dan jalan yang rosak."
(Al-Israk A:32 S:17 J:15 M/S:285)
Islam bukan setakat mengharamkan zina, bahkan untuk menghampirinya pun telah dilarang.
Penulisan surat, berkirim-kirim salam atas tujuan memikat, 'berangkat-angkat', menjeling-jeling, melihat gambar, menonton tayangan gambar, berkata-kata dengan perkataan yang lucah, mengganggu anak-anak gadis yang sedang lalu-lalang, keluar bersama kekasih walaupun direstui kedua ibu bapanya, malahan berkhayal dengan fikiran pun tetap dilarang. Hal di atas adalah dinamakan ASBAB untuk menghampiri zina.
Kesimpulannya, Allah menegaskan bahawa tiada suatu pun cara yang mengharuskan melakukan percampuran bebas antara lelaki dengan perempuan.
Perkara yang sangat memalukan, apabila ada segelintir ibu bapa membenarkan anaknya keluar dengan kekasihnya dengan menyatakan: "Engkau boleh membawa anak makcik keluar, asalkan engkau ikhlas. Engkau jagalah anak makcik ini baik-baik. Kalau boleh baliklah awal sedikit, jangan terlalu lewat sangat."
Kalau Allah sendiri telah melarang dari menghampiri zina, kenapa pula dengan mudah membenarkan anak kita keluar dengan kekasihnya?
Mungkin ada segelintir ibu bapa membenarkan anaknya keluar dengan alasan untuk menjaga hati anak, malu pada jiran, mengikut peredaran masa atau berbagai alasan yang lain.
Tidakkah kita terbaca di dalam Al-Quran di mana Allah telah berFirman:
"Itulah batasan larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya (ingkar)."
(Al-Baqarah A:187 S:2 J:2 M/S:29)
TIADA SIKAP TANGGUNGJAWAB DI KALANGAN ADIK-BERADIK
Sikap kasih sayang dan tanggungjawab di kalangan adik-beradik sangatlah penting bagi mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni.
Tanpa sikap ini akan memporak-perandakan keluarga di samping menambatkan tekanan dan ketegangan jiwa kerohanian.
Gejala tiada kesefahaman ini jelas dilihat apabila:
1. Tidak menjaga hak atau harta adik-beradik yang lain.
2. Sentiasa mengharapkan sesuatu pekerjaan itu dilakukan oleh adik-beradik yang lain walaupun sekadar untuk membuang sampah.
3. Sentiasa merungut apabila diarahkan untuk melakukannya.
4. Tidak rela barang-barangnya digunakan oleh adik-beradik yang lain.
5. Tiada sikap bertolak ansur apabila berlaku sesuatu kesilapan.
6. Tidak pandai mengagih-agihkan makanan (suka makan bersendirian dan memonopoli sesuatu makanan itu).
7. Tamak.
PENYELESAIAN
Setiap penyakit ada ubatnya.
Setiap yang berlaku pasti ada penyebabnya.
Setiap permulaan pasti ada penyudahnya.
Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya.
Selepas kita mengetahui antara punca-punca yang menyebabkan berlakunya masalah tersebut, marilah kita sama-sama mencari jalan untuk menyelesaikannya.
Antara faktor-faktor yang akan diutarakan nanti, bukanlah hanya golongan yang digelar bohsia, bohjan atau mat lepak sahaja tetapi merangkumi orang yang menggelarkan dirinya muslim (termasuk kerajaan, masyarakat, ibu bapa dan diri kita sendiri).
Faktor-faktor penyelesaian ini diambil berdasarkan pengalaman dan pemerhatian pada orang-orang soleh yang masih berpegangan dengan amalan Nabi s.a.w dan amalan orang-orang SUFI.
Bagi mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan atau ingin menghampiri diri mencari keredhaan Allah S.W.T dinasihatkan supaya mengamalkan apa yang disarankan mengikut aturan dan turutannya. Janganlah hanya mengikut hawa nafsu semata-mata, walaupun amalan itu berupa kebajikan sekalipun.
MENUNTUT ILMU YANG MEMBAWA KEIMANAN
Kita hendaklah menuntut ilmu yang membawa diri hampir kpd Allah. Ilmu yang membawa kita kepada sifat kehambaan dan keyakinan kepada Allah. Sabda Nabi s.a.w:
"Barangsiapa yang menghendaki dunia, maka hendaklah berilmu. Barangsiapa yang berkehendak kepada akhirat, hendaklah ia berilmu. Barangsiapa yang berkehendak kepada dunia dan akhirat, maka hendaklah ia berilmu. Barangsiapa yang berkehendak kasih kepada Allah, maka hendaklah ia bertawakkal kepada Allah."
Hadis ini menegaskan supaya apabila kita hendakkan sesuatu itu, mestilah mempunyai ilmu. Setiap ilmu itu mestilah hasil penyerahan kepada Allah (keimanan kepada Allah).
Meskipun kita belajar ilmu akademik seperti biologi, fizik, kimia, geografi, matematik atau apa bidang sekalipun, tetaplah kita memastikan ia akan membawa jiwa kita menjadi hamba yang beriman. Allahlah yang telah mengajar dan menganugerahkan kepada hamba-Nya segala pengetahuan yang ada di muka bumi ini. Meskipun sesuatu teori yang dicetuskan oleh pakar-pakar daripada kalangan kafir namun ilmu itu tetap kepunyaan Allah.
Cuba kita singkap kembali sejarah keilmuan di kalangan ulama'-ulama' Islam di zaman dahulu, umpamanya Ibnu Sina. Beliau seorang pakar di bidang sains dan perubatan. Di dalam masa yang sama, beliau adalah seorang yang alim tentang selok-belok agama. Begitu juga seperti Ibnu Radi, Ibnu Khaldun, Al-Jabbar dan sebagainya. Oleh itu, janganlah kita anggap ilmu keimanan hanya berada di dalam ilmu pelajaran, bahkan ia juga berada di dalam segenap bidang ilmu sama ada sains, sastera, geografi, matematik dan sebagainya.
Buktinya kita lihat bagaimana Allah telah menerangkan di dalam Al-Quran bahawa Allahlah yang telah mengajar Nabi Adam a.s dengan segala ilmu yang belum diketahui oleh malaikat.
Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran:
"Allah mengajarkan kepada Adam sekelian nama-nama benda kemudian dibawa benda-benda itu kepada malaikat lalu Allah berFirman: Khabarkan kepada Aku nama benda ini, jika kamu yang benar."
(A:31)
Jawab malaikat: "Maha Suci Engkau, tidak adalah pengetahuan kami melainkan apa yang Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana."
(A:32)
Allah berFirman: "Hai Adam! Khabarkanlah kepada malaikat nama benda itu." Tatkala Adam menerangkan nama benda-benda itu, Allah berFirman: "Bukankah Aku sudah khabarkan kepada kamu, bahawa Aku mengetahui yang ghaib di langit dan di bumi serta Aku mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan."
(Al-Baqarah A:31-33 S:2 J:1 M/S:6)
Ayat di atas, Allah S.W.T telah menegaskan bahawa Dia berkuasa menjadikan sesuatu dan Allahlah yang telah mengajar kita barang yang nyata dan barang yang belum nyata (yang belum ditemui oleh manusia).
Kalau hendak diibaratkan segala ilmu yang dimiliki oleh manusia dengan apa yang dimiliki oleh Allah, tidak ubah seperti setitik air tengah-tengah lautan. (Ilmu Allah Maha Luas, ilmu manusia amat terbatas).
Rugilah bagi mereka yang berilmu atau yang bergelar ulama', ustaz, doktor, pensyarah tetapi tiada pada dirinya perasaan kasih rindu kepada Allah. Lahir pada zahirnya sifat musuh Allah (sifat-sifat yang cela lagi keji). Sebaliknya jika seseorang yang mempunyai pelajaran keduniaan tetapi di dalam masa pembelajarannya, ia dapat menembusi perasaan kasih kepada Allah adalah mereka itu berjaya di sisi Allah S.W.T. Mereka sentiasa memerhati dan menganggap setiap ilmu yang diperolehi adalah kurniaan Allah. Lebih jauh mereka membuat kajian, kian jelas lagi ia dengan kebesaran Allah. Mereka inilah yang lebih terdedah dengan dalil Kekuasaan dan Kehalusan Allah S.W.T mencipta makhluk-Nya.
Bagi menghasilkan ilmu yang dapat membuat penyerahan kepada Allah S.W.T (keyakinan dan keimanan) hendaklah kita sentiasa berdamping dengan orang-orang soleh dan guru yang mursyid. Mereka (mursyid dan orang soleh tersebut) yang akan membimbing dan memimpin kita ke jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T.
MEMPERBANYAKKAN SELAWAT KEPADA NABI S.A.W
Selawat mempunyai kelebihan untuk mengatasi keserabutan dan permasalahan yang kita hadapi. Syaitan akan memasuki tubuh badan kita melalui pengaliran darah. Oleh itu, hendaklah kita membersihkan darah dengan memperbanyakkan membaca selawat kepada Nabi s.a.w.
Sebahagian ulama' menyatakan di dalam syarahan mereka: "Di dalam badan setiap manusia terdapat lima belas ribu titik darah. Setiap seratus selawat hanya dapat membersihkan setitik darah. Jika kita hendak membersihkan darah (jiwa) hendaklah berselawat sebanyak 1.5 juta selawat."
Janganlah kita memandang kepada jumlah 1.5 juta tersebut, tetapi hendaklah kita memandang rahmat Allah S.W.T bagi mencapai kecintaan dan kasih kepada-Nya. Sekiranya ingin berlatih membentuk jiwa yang kasih kepada Allah dan Nabi s.a.w, hendaklah bermula dengan berselawat sebanyak 40 ribu selawat. Berselawatlah sehingga digelar 'jutawan selawat'. Selawat adalah pemangkin utama di dalam menghampiri jiwa kepada Allah dan Nabi s.a.w. Hasil dari selawat ini juga akan mengikis sifat-sifat dan akhlak-akhlak yang tidak baik seperti lepak, bohjan, bohsia dan sebagainya.
Persoalan yang mungkin timbul ialah kenapa perlunya kita berselawat? Sesungguhnya selawat adalah perintah Allah S.W.T. Ulama'-ulama' sufi menyatakan bahawa perintah di dalam Al-Quran yang menyeru supaya kita berselawat adalah perintah yang wajib (bagi mereka yang ingin membentuk diri dan jiwanya beriman dengan Allah dan Rasulullah s.a.w).
Firman Allah di dalam Al-Quran:
"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi s.a.w. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kepada Nabi s.a.w dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya."
(Al-Ahzab A:56 S:33 J:22 M/S:426)
Di dalam ayat ini, Allah S.W.T telah mengkhitobkan bahawa jika orang yang benar-benar beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, hendaklah ia berselawat kepada Nabi s.a.w dengan Firman-Nya:
"Wahai mereka yang beriman! Hendaklah kamu berselawat kepada Nabi s.a.w."
Dari makna zahir ayat ini, Allah menyatakan bahawa orang yang beriman ialah orang yang berselawat kepada Nabi s.a.w. Bermakna jika seseorang itu tidak berselawat kepada Nabi s.a.w, belumlah lagi ia benar-benar beriman kepada Allah dan Nabi s.a.w. Hendaklah setiap individu berselawat di dalam setiap keadaan, walaupun ia seorang pelaku maksiat. Apa yang pernah saya perhatikan, apabila seorang penzina telah bertemu dengan seorang yang soleh, maka ia akan ajarkan supaya membanyakkan membaca selawat. Begitu juga pada seorang pembunuh dan penipu, mereka juga disarankan memperbanyakkan membaca selawat. Lama-kelamaan dengan berkat membaca selawat, mereka telah meninggalkan kemaksiatan mereka dan menjadi orang baik. Oleh itu, kita hendaklah membaca selawat di dalam setiap keadaan dan ketika. Sama ada kita berjalan, berdiri, duduk, menaiki kenderaan, tidur atau sebagainya.
Marilah kita sama-sama memperbanyakkan membaca selawat kepada Nabi s.a.w. Berselawatlah semata-mata mencari dan mematuhi perintah Allah seperti mana ayat tersebut di atas. Janganlah berselawat selain dari tujuan tersebut seperti ingin mencari kekayaan, kemegahan dan yang seumpamanya.
KETERANGAN:
Kita pun sedia maklum bahawa syarat atau rukun syahadah ialah mengucapkan dengan lidah, kemudian ditasdikkan di dalam hati dan diamalkan dengan perbuatan (amalan harian mestilah mengikut syariat dan sunnah Nabi s.a.w)
Dalam pengertian tersebut, syarat untuk menjadi kekasih kepada seseorang, hendaklah ia melafazkan nama kekasihnya terlebih dahulu. Selepas itu, barulah timbul perasaan kasih sayang kepadanya. Apabila telah timbul perasaan kasih sayang, barulah kita akan patuh segala permintaannya tanpa perasaan malas dan jemu.
Nabi kita Muhammad s.a.w ialah kekasih Allah S.W.T. Kita tidak akan dapat kasih kepada Allah S.W.T melainkan selepas kita kasih kepada kekasih Allah S.W.T iaitu Nabi s.a.w. Semasa Nabi Adam a.s diturunkan ke bumi ini dari syurga kerana kesalahannya memakan buah khuldi, baginda menangis di dalam keadaan bersujud kerana bertaubat selama empat puluh tahun tanpa mengangkat kepala. Nabi s.a.w menyatakan bahawa jika tangisan anak cucu Nabi Adam dikumpulkan, nescaya masih belum boleh lagi menandingi tangisan Nabi Adam a.s ini.
Selepas empat puluh tahun, barulah Nabi Adam a.s mengangkat kepalanya mendongak ke langit seraya berkata:
"Ya Allah! Ampunkanlah dosa daku ini dengan berkat syafaat Muhammad s.a.w."
Kemudian Allah S.W.T bertanya kepada Nabi Adam a.s: "Wahai Adam! Siapakah Muhammad yang engkau memohon keampunan dengan syafaat?"
Lalu Nabi Adam a.s menjawab: "Semasa daku di dalam syurga, daku telah mendongakkan kepala ke arah Araysh. Di sana daku telah melihat pada tulisan (Muhammad). Aku telah yakin bahawa tiada siapa pun lebih tinggi daripadanya di sisi-Mu yang Engkau letakkan namanya dengan nama-Mu."
Lantas Allah S.W.T mewahyukan kepada Nabi Adam a.s: "Wahai Adam! Sesungguhnya ia adalah nabi akhir zaman dari keturunanmu. Sekiranya ia tiada, sudah pasti Aku tidak akan menjadikan kamu."
Sekiranya Nabi Adam a.s sebagai seorang nabi lagi rasul, meminta keampunan dosanya dengan berkat Nabi s.a.w, maka sayugianyalah kita yang jahil, hina lagi banyak dosa ini memperbanyakkan membaca selawat kepada Nabi s.a.w. Jika di zaman Nabi s.a.w, sahabat-sahabat yang mempunyai akhlak yang ganas dan hodoh telah bertukar menjadi baik lagi cemerlang. Contohnya seperti Sayidina Umar r.a sebelum menganut agama Islam, beliau telah menanam anak perempuannya hidup-hidup. Ada sebahagian sahabat pula yang meminum arak di dalam tengkorak manusia, berzina, berjudi dan berbagai lagi kejahatan. Tetapi apabila mereka telah menganuti agama Islam, mereka telah menjadi insan yang cemerlang. Sahabat-sahabat Nabi s.a.w telah menjadi cemerlang kerana mereka sentiasa berdamping dengan Nabi s.a.w. Mereka sentiasa melihat akhlak dan keperibadian Nabi s.a.w sendiri. Bagaimana pula dengan keadaan kita pada zaman sekarang? Kita telah ditinggalkan oleh Nabi s.a.w semenjak 1400 tahun yang lampau. Siapakah yang akan membimbing dan mendidik kita?
Oleh itu, bagi mengembalikan semula zaman keagungan Islam, terutama di awal kurun ini, hendaklah kita memperbanyakkan membaca selawat kepada Nabi s.a.w sehingga Allah dan Nabi s.a.w meredhai kita. Insya-Allah.
· Selawat adalah jalan yang paling hampir menuju kepada Allah.
· Selawat penenang fikiran dan jiwa.
· Selawat pengikis dosa.
· Selawat menyelesaikan 1001 macam permasalahan.
· Selawat mententeramkan jiwa.
· Selawat membentuk peribadi muslim.
Hendaklah kita berselawat semata-mata kerana Allah. Jangan sesekali berselawat kerana untuk memurahkan rezeki, menjadi bomoh dan sebagainya.
BERTAUBAT DAN BERISTIGHFAR KEPADA ALLAH
Langkah yang kedua selepas kita berselawat bagi membentuk peribadi muslim yang sejati ialah menyatakan kebodohan kita kepada Allah S.W.T (menyatakan sifat kehambaan terhadap Allah) dengan bertaubat selepas melakukan kesalahan, dosa kecil ataupun dosa besar.
Taubat ialah menyatakan sifat kebodohan dan kesalahan kita kepada Allah sehingga timbul perasaan takut dan rindu kepada Allah sama ada dengan ucapan atau perbuatan.
Taubat tidak semestinya dengan mengucapkan "astaghfirullah" semata-mata. Tetapi sebaliknya jika kita mengucapkan: "Ya Allah! Hamba ini lemah, jahil lagi banyak dosa, maafkanlah hamba," lalu timbul perasaan takut kepada Allah, maka ini juga dinamakan taubat.
Apabila telah melakukan sebarang dosa walaupun sebesar zarah sekalipun, hendaklah kita bertaubat kepada Allah. Janganlah kita bertangguh untuk bertaubat. Hendaklah kita merasakan bahawa dosa yang sebesar zarah itu seumpamanya sebuah gunung yang akan menghempap (menimpa) kepala kita. Jangan sesekali beranggapan dosa itu seperti seekor lalat yang mudah untuk menghalaunya.
Bertaubat bukan sekadar apabila telah melakukan sebarang dosa dan kesalahan, tetapi kita juga hendaklah bertaubat apabila telah mendapat rezeki atau nikmat. Sebaliknya apabila kita mendapat musibah atau azab, hendaklah kita bersyukur kepada Allah. Ini menunjukkan bahawa Allah sayang kepada kita. Bala itu adalah peringatan Allah kepada kita di atas kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan semasa kita sedar ataupun tidak sedar.
Kita perlu bertaubat apabila mendapat nikmat kerana kita tidak tahu samada nikmat itu berbentuk rahmat ataupun bala daripada Allah S.W.T. Jika ia berbentuk rahmat, itu adalah anugerah daripada Allah. Sebaliknya jika ia berbentuk bala, maka ia adalah bala kemurkaan daripada Allah ke atas kita.
Begitu juga kita mendapat ilmu, hendaklah bertaubat kepada Allah kerana kita masih belum mengetahui adakah segala ilmu itu mengikut kehendak Allah dan Nabi s.a.w atau kehendak hawa nafsu kita.
Di bawah ini saya menyatakan lafaz-lafaz taubat yang perlu kita ucapkan:
"Aku memohon keampunan Allah, Tuhan sekelian umat manusia. Aku memohon keampunan Allah dari segala kesalahan-kesalahan manusia."
No comments:
Post a Comment