Friday

KEMBALI SATU PENYELESAIAN (1)

EMBALI SATU PENYELESAIAN

Dewasa ini kita telah dikejutkan dengan berbagai-bagai isu akhlak yang sangat membimbangkan. Di mana-mana kita sering mendengar orang ramai memperkatakan masalah tersebut. Di peringkat para jemaah menteri, pegawai-pegawai kerajaan, pihak swasta, ibu bapa dan semua golongan di seluruh dunia yang membangun dan yang sedang membangun.

Persoalannya, kenapa perkara ini berlaku dengan begitu cepat dan menular begitu pantas? Bak kata pepatah Melayu, "Bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan" atau di dalam makna ayat Al-Quran, "Bagaikan bumi yang gersang menumbuhkan tumbuhan yang menghijau selepas hujan" – nisbah kepantasan gejala ini berlaku.

Adakah gejala ini berlaku disebabkan oleh unsur BUDAYA atau TAKDIR yang menentukan begini?

Jika gejala ini berlaku disebabkan oleh budaya, apakah budaya yang perlu dipersalahkan? Adakah BUDAYA KUNING, BUDAYA BARAT atau BUDAYA MASA?

Persoalan di atas bukanlah cara bagi menyelesaikan masalah, tetapi ia hanyalah sebagai penyedap untuk dijadikan isu perbualan di kedai kopi bagi orang perseorangan. Ahli-ahli akademik menjadikannya sebagai topik forum mereka di kaca televisyen atau di arena perbahasan semata-mata.

Bukan budaya yang perlu dipersalahkan kerana sesuatu budaya tidak akan berlaku sekiranya tiada orang yang menciptanya atau yang menghidupkannya kembali.

Di dalam masalah ini, kita, anak-anak, ibu bapa, kerajaan dan orang ramai yang perlu dipersalahkan. Dipersalahkan kerana sentiasa mengikut HAWA NAFSU dan tewas dalam BUJUKAN IBLIS dan SYAITAN LAKNATULLAH.

Enggan patuh pada tatacara yang digaris pandukan oleh Allah dan Rasulullah s.a.w.

Jika kita menyatakan isu ini disebabkan oleh TAKDIR yang telah menentukan semata-mata, nescaya kita akan menjadi KUFUR kepada Allah S.W.T. Jagalah percakapan kita supaya menjadi seorang hamba yang beradab.

Tidakkah Allah telah menjadikan kita sebagai makhluk yang sempurna? Allah telah mencipta dan melengkapkan kita dengan akal fikiran. Allah juga telah mengutuskan Nabi s.a.w. sebagai contoh ikutan yg sempurna.

Kenapa kita tidak mahu mengikut cara tunjuk ajar Nabi s.a.w. yang SYUMUL dan menggunakan akal fikiran semasa menghadapi masalah dan tekanan jiwa?

Kita sendirilah yang perlu dipersalahkan, bukan takdir dan budaya yang menyebabkan gejala ini berlaku.

Walau bagaimanapun, setiap yang berlaku itu pasti ada penyebabnya. Penyebab yang Allah tentukan itu adalah supaya kita dapat berfikir dan membezakan setiap perkara yang berlaku dan yang terjadi. Membezakan setiap perkara yang baik dengan perkara yang tidak baik, yang pandai dengan yang kurang pandai.



Di antara faktor-faktor yang menyebabkan gejala yang kurang sihat ini ialah:

1. Keingkaran untuk patuh pada hukuman Allah dan Rasul-Nya s.a.w.

2. Tidak belajar ilmu keimanan di dalam beragama.

3. Meninggalkan solat, bacaan Al-Quran dan Hadis s.a.w.

4. Lalai dari mengingati Allah (berzikir).

5. Tidak menjaga pemakanan.

6. Masalah ibu bapa dan keluarga.

7. Sahabat dan kawan-kawan.

8. Percampuran bebas di antara lelaki dan perempuan.

9. Tiada sifat kasih sayang di antara adik-beradik.



TIDAK BELAJAR KEIMANAN DI DALAM BERAGAMA

Kebanyakan mereka yang bermasalah, terdiri dari mereka yang masih mengetahui hukum-hakam agama, halal haram dan sah batal tetapi kenapa ia masih terjebak dengan masalah keruntuhan moral tersebut?

Masalah keilmuan asas agama bukanlah menjadi satu faktor yang besar sebab punca keruntuhan moral. Rata-rata mereka telah diajari dengan masalah agama di sekolah-sekolah sejak dari tadika hinggalah ke peringkat universiti.

Tetapi malangnya mereka cuma diajari ilmu pelajaran agama sahaja. Mereka tidak diajari cara menghayati agama dengan melalui latihan agama itu sendiri.

Mereka diajar cara melakukan solat tetapi mereka tidak menghayati dengan kepentingan solat. Ibu bapa tidak mengambil tindakan apabila anak-anak tidak melakukan solat. (Ibu bapa tidak pernah merotan anak-anak apabila ia meninggalkan solat). Ini bertentangan dengan sabda Nabi s.aw. yang diriwayatkan oleh Hakim dan Abu Daud. Sabda Nabi s.a.w: " Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat apabila mereka mencapai usia tujuh tahun, dan deralah mereka untuk mengerjakan solat apabila mereka mencapai usia 10 tahun serta pisahkan mereka dari tempat tidur mereka. "

Di dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa hendaklah merotan anak-anak apabila mereka tidak melakukan solat. Sebaliknya kita tidak melakukan sepertimana sabdaan Rasulullah s.a.w. tersebut.

Di samping itu, Rasulullah s.a.w. menyarankan kepada kita agar supaya memisahkan tempat tidur anak-anak apabila sudah mencapai umur 10 tahun. Maksudnya bukan setakat memisahkan tempat tidur sahaja malah supaya mengawal pergerakan atau cara pergaulan anak lelaki dan anak perempuan. Jangan dibiarkan mereka dari hampir menghampiri di antara satu sama lain dengan melanggari batasan syarak.

Apabila kita melanggari larangan Rasulullah s.a.w. tersebut, maka kita sering terdengar dan terbaca di akhbar-akhbar mengenai SUMBANG MAHRAM (Adik-beradik melakukan hubungan sesama sendiri, bapa dan datuk menjadi IKAN HARUAN dan sebagainya.)

Beginilah kesan apabila ibu bapa tidak mengambil pusing hal-hal yang terdapat di dalam Al-Quran dan Sabdaan Rasulullah s.a.w. Mereka juga tidak diberatkan dengan amalan agama, akibatnya mereka hanya menumpukan kemahuan hawa nafsu semata-mata. Mereka mahukan kebebasan seperti kalkatu yang berterbangan tanpa hala tujuan. Akhirnya mati terkulai kerana patah sayap atau dimakan oleh pemangsa.

Golongan yang hanya mengikut kemahuan hawa nafsu ini juga menyatakan, "Mereka malas belajar masalah keimanan, apabila sudah tahu, nanti kena amalkan atau kena tinggalkan. Itu tidak boleh, ini tidak boleh." Inilah kata-kata anak murid syaitan laknatullah yang telah bermaharajalela di dalam hati mereka. Mereka ini hanya mengikut ajakan hawa nafsu dan telunjuk syaitan laknatullah.

Firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran yang bermaksud:

" Adakah engkau lihat orang yang mengambil hawa nafsunya menjadi tuhan? Bahkan adakah engkau kira bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memikirkan. Mereka tidak lain hanya seperti binatang, bahkan mereka lebih sesat jalannya dari binatang ternakan itu. "

( Al-Furqan: A:43 & 44 S:25 M/S:363 )

Tidak hairanlah jika mereka yang terjebak di dalam masalah keruntuhan moral ini berkelakuan seperti binatang sepertimana Firman Allah S.W.T. di dalam ayat di atas.



MENINGGALKAN SOLAT, BACAAN AL-QURAN DAN HADIS NABI S.A.W.

Apabila kita meninggalkan solat, tidak membaca Al-Quran dan tidak membaca hadis Nabi s.a.w, maka hati kita akan menjadi keras. Akibatnya, keimanan menjadi lemah. Akhirnya jiwa menjadi kosong. Siapakah yang akan mendiami jiwa kita ini?

Tidak lain dan tidak bukan hanyalah nafsu am'marah bis'suka (keinginan yang mendorong untuk melakukan kejahatan) dan syaitan laknatullah.

Adakah syaitan akan menyeru kita melakukan kebaikan? Ingatlah bahawa syaitan tidak akan sesekalipun menyeru kita melakukan kebaikan.



Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Sesungguhnya syaitan laknatullah itu menyuruh kamu memperbuat kejahatan (dosa) dan kerja-kerja keji dan menyatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu mengetahuinya."

(Al-Baqarah: A:169 S:2 J:2 M/S:25)

Apabila kita tidak menggunakan masa untuk melakukan solat, membaca Al-Quran dan hadis Nabi s.a.w, maka masa-masa itu akan digoda oleh hawa nafsu dan syaitan supaya membuang masa seperti melepak di tepi-tepi jalan, kompleks-kompleks membeli-belah, pusat-pusat hiburan, membaca bahan bacaan yang tidak berfaedah atau menonton t.v atau filem yang tidak senonoh (lucah).

Akhirnya golongan ini akan terus bergelumang dengan gejala sosial atau menjadi kawan baik jin dan syaitan laknatullah.



LALAI DARI MENGINGATI ALLAH ( BERZIKIR )

Mereka yang terjebak dengan masalah keruntuhan moral adalah disebabkan ketidakadaan ketenangan jiwa. Malah mereka tidak mengetahui apakah yang dikatakan ketenangan jiwa.

Mereka menyangka ketenangan itu boleh diperolehi dengan menyanyi, lepak, dadah, bohsia dan sebagainya. Apabila mereka terus-menerus berkeadaan begini, mereka sebenarnya akan sentiasa berada di dalam keserabutan rohani (mental) dan jasmani (fizikal).

Pada zahirnya, mereka menyatakan bahawa mereka di dalam keriangan dan ketenangan tetapi sebenarnya mereka tidak ubah seperti monyet yang terkena belacan atau seperti lembu biang.

Lebih menyedihkan lagi apabila mereka begitu berani menyatakan, "Walaupun kami berkelakuan begini (dengan pakaian yang tidak senonoh dan akhlak yang buruk) tetapi hati kami tetap baik." Inilah kata-kata anak murid syaitan laknatullah.

Kesempurnaan iman dan keislaman seseorang itu akan dinilai dari zahir peribadinya. Jika buruk perangainya, buruklah imannya. Jika baik perangainya, baiklah imannya. Tetapi jika buruk perangai seseorang itu adakah akan mencerminkan imannya turut baik?

Sabda Nabi s.a.w:

"Zahir seseorang itu menunjukkan bukti keadaan apa yang berada di dalam hati (keimanan)."

Misalnya, kita ibaratkan seperti buah-buahan yang bernilai tinggi mutunya. Kebiasaannya akan dibungkus sejak dari putiknya lagi. Jika ia terdedah, pastilah rendah mutunya. Lebih malang lagi jika buah itu ditebuk oleh tupai atau oleh ulat. Akhirnya buah itu akan membusuk dan tidak akan bernilai lagi.

Beginilah ibaratnya bagi mereka yang berkelakuan tidak sopan. Zahirnya terdedah pastilah batinnya turut gundah. Jika zahirnya seperti anak kerbau, pastilah ia tidak akan bertukar menjadi anak lembu.

Barang yang berharga tidak akan dijual di tepi jalan, sebaliknya akan dijual di dalam kedai yang ternama lagi berpengawal, ditutup dan dibungkus dengan rapi.

Berhubung dengan perkara di atas, ramai di kalangan kita telah terkeliru dengan maksud hadis:

"Sesungguhnya Allah tidak pandang pada rupa kamu dan pada harta kamu, tetapi Allah melihat pada hati (keikhlasan) dan sifat amalan kamu."

Ramai di kalangan orang yang cetek agama hanya menyatakan bahawa Allah S.W.T hanya melihat pada hati sahaja lalu meninggalkan amalan-amalan sunnah Nabi s.a.w. Sebaliknya hadis ini menegaskan bahawa Allah melihat pada hati dan amalan kita. Tidak sempurna jika hanya menjaga hati sahaja tanpa memelihara zahir sahaja tanpa memelihara hati (batin). Tegasnya di sini ialah supaya kita wajib memelihara kedua-duanya sekali dalam setiap masa.



TIDAK MENJAGA PEMAKANAN

Apabila manusia memakan benda yang haram dan syubhat (samada punca rezekinya atau benda itu sendiri yang kita makan) menyebabkan hati kita menjadi keras dan gelap (tidak mendapat taufik dan hidayah).

Masalah makanan yang haram berpunca daripada ibu bapa sendiri. Jika ibu bapa telah memakan dari punca rezeki yang haram (rasuah, riba) atau benda yang haram (arak, rokok, makanan yang bercampur dengan bahan daripada khinzir atau membasuh makanan yang tidak sempurna seperti tidak menggunakan air yang mutlak) akan menyebabkan darah daging dan anak-anaknya tumbuh daripada benda yang haram.

Apabila daging tumbuh daripada benda yang haram, hati turut menjadi kelam. Akhirnya terus melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.

Daripada kesan pemakanan tersebut akan membentuk benih-benih zuriat (mani). Kalau benih telah rosak, bagaimanakah untuk melahirkan anak yang baik. Bak kata pepatah Melayu, "Bagaimana acuan begitulah kuihnya."

Imam Ghazali menegaskan bahawa bagi menghasilkan zuriat yang soleh, bermula daripada dua puluh tahun sebelum satu pasangan itu berkahwin.

Perwatakan anak yang bakal lahir kelak, akan mengikut kromosom yang terdapat pada air mani pasangan ibu bapa tersebut. Ibu bapa yang mempunyai baka atau keturunan yang berpenyakit kusta, sopak, gila, darah tinggi atau sebagainya akan meyebabkan anak yang bakal lahir itu akan turut sama menghidapinya.

Tidak keterlaluan jika saya menyatakan, jika ada anak-anak yang melakukan zina, ini adalah hasil dari keturunan ibu bapanya yang ada melakukan zina pada zaman-zaman yang lampau.

Perzinaan ibu bapa bukan setakat melakukan hubungan luar nikah atau dengan pelacur, tetapi jika wali yang menikahkannya itu fasik atau kufur juga akan menyebabkan pernikahan itu tidak sah. Apabila pernikahan itu tidak sah, akan menyebabkan ibu bapa itu sentiasa melakukan zina. Inilah kebanyakkan yang berlaku pada zaman sekarang.

Sejarah ada membuktikan bahawa kejatuhan sebahagian orang-orang Abid pada zaman dahulu adalah disebabkan memakan benda yang haram dan syubhat. Mungkin kita sudah biasa mendengar kisah Barsisa pada zaman Nabi Musa a.s. Beliau mati dalam keadaan kufur dengan Allah selepas meminum arak.

Apabila di dalam badan kita terdapat makanan yang haram, maka mudahlah syaitan mencucuk tipu helahnya di dalam hati kita.

Inilah kesan pemakanan terhadap kelakuan dan zuriat yang bakal menggantikan kita.



MASALAH IBU BAPA DAN KELUARGA

Keadaan ibu bapa dan keluarga yang sentiasa atau jarang berada di rumah, menjadi satu faktor penyebab anak-anak menjadi liar. Lebih-lebih lagi apabila ibu bapa melakukan kemaksiatan atau kemungkaran di luar rumah seperti berzina, minum arak dan berjudi.

Kalau ayahnya burik, anaknya akan rintik. Ibu bapa adalah pemimpin di dalam sebuah keluarga. Maka ia sepatutnya menunjuk dan mengajar anaknya dengan akhlak yang baik. Melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Peliharalah diri kamu dan ahli kamu daripada api neraka."

(Tahrim: A:6 S:66 J:28 M/S: 560)

Telah berkata Syeikh Huna di dalam syarahan beliau, "Kita wajib memelihara diri dahulu daripada perkara yang membawa kepada api neraka, kemudian barulah ahli keluarga kita. Kalau diri kita sudah betul, barulah mudah anak-anak mengikutnya. Sebaliknya diri kita sendiri tidak tahu ke mana atau perasaan sudah menjadi orang soleh, bagaimana orang hendak mengikut kita. Bak kata pepatah Melayu, "Bagaikan ketam mengajar anaknya berjalan betul."

Selepas kita membentuk diri menjadi orang yang soleh, barulah kita menjaga ahli keluarga dan orang di bawah tanggungan kita sendiri dengan mudahnya. Jika diri sendiri tidak dapat disiplinkan, bagaimanakah kita hendak menunjukkan contoh yang cemerlang pada anak-anak serta orang di bawah tanggungan kita sendiri.

Kita ingin melarang anak-anak menghisap rokok, tetapi sebaliknya kita sendiri menghisapnya. Kita melarang anak-anak dari melepak, tetapi kita sendiri membazirkan waktu di kedai kopi, hotel-hotel, pusat-pusat peranginan atau di parti-parti yang tidak bermoral.

Para remaja membuang masa dan bercampur bebas di kompleks-kompleks atau di panggung wayang. Ibu bapa pula telah menghabiskan waktu di padang golf, kelab-kelab malam, disko atau di tempat-tempat yang bertaraf antarabangsa.

Ibu bapa menghantar anak-anak supaya mengaji Al-Quran tetapi mereka sendiri tidak membacanya atau untuk menghayatinya sendiri.

Ibu bapa melarang anak-anak supaya jangan melakukan seks rambang tetapi mereka sendiri melakukannya atau memberi kebebasan pada anak-anak dengan membekalkan wang belanja yang tidak terkawal.

Seorang telah datang kepada Sayidina Umar r.a mengadu penderhakaan anaknya. Sayidina Umar memarahi anak itu, lalu anak itu berkata: "Wahai Amirul Mukminin! Tidakkah ada hak-hak anak di atas ayahnya?"

Sayidina Umar menjawab: "Bahkan ada!"

Anak itu berkata, "Apa dia wahai Amirul Mukminin?"

Sayidina Umar menjawab, "Hendaklah bapa itu memilih isterinya dari keturunan yang baik dan mengajarinya membaca Al-Quran."

Lalu anak itu berkata, "Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya ayah saya tidak melakukan sesuatu pun dari apa yang demikian itu. Ibu saya adalah orang Zanjiyah (bekas hamba hitam) dahulunya ia berkahwin dengan seorang Majusi. Ayah saya telah menamakan saya Jo'ul (lipas). Dia belum mengajar saya satu huruf pun dari Al-Quran."

Mendengar kata-kata si anak itu, maka Sayidina Umar pun berkata kepada ayah anak itu: "Engkau datang kepadaku mengadukan penderhakaan anakmu, sebenarnya engkau telah menderhakainya sebelum ia menderhakaimu dan engkau telah merosakkannya sebelum ia merosakkanmu."

Di sini menunjukkan dalil bahawa penderhakaan seseorang itu adalah berpunca dari ibu bapa itu sendiri.

Bapa borek anak rintik.

Di mana tumpahnya kuah kalau tidak di dalam pinggan.



ULAMAK YANG TAKWA DIHINA, ORANG TUA TIDAK DIHORMATI DAN KANAK-KANAK TIDAK DIKASIHI

Maulana Zakaria Raisul Muhaddisin, Syaikul Hadis Mazahir ulum saharanpur, telah berkata di dalam kitabnya, "Himpunan kitab-kitab Fadhail (fadilat tabligh) muka surat 31, bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Maksudnya, "Bukan ia daripada pengikutku yang tidak menghormati orang-orang tua tidak belas kasihan kepada anak-anak dan tidak menghormati kepada alim ulamak."

Rasulullah s.a.w telah bersabda, mahfumnya: "Aku takuti terutamanya tiga kesalahan di kalangan umatku."

1. Kerana keuntungan-keuntungan dunia dan kemakmurannya mereka berhasad dengki antara satu sama lain.

2. Si jahil berbangga-bangga bahawa mereka pun tahu erti ayat-ayat Al-Quran walaupun ertinya tidak difahami oleh sesiapa kecuali alim ulamak yang mahir dengan Al-Quran dan beriman dengan Allah sebenarnya.

3. Guru-guru agama akan diabaikan dan tidak akan disanjung sebagaimana semestinya.

Malah anak-anak kita akan ditakut-takutkan dengan ulamak. Ulamak-ulamak itu akan dicemuh dan dihina supaya anak-anaknya tidak menghampiri mereka.

Akibatnya anak-anak akan terus duduk di dalam kekosongan jiwa kerohanian dan berdampingan dengan syaitan laknatullah. Di dalam fatwa, ulamak-ulamak mengatakan: "Barang siapa menghina ulamak-ulamak (awlia) maka ia boleh jatuh kafir."

Kalaulah tidak ada alim ulamak Islam yang benar lagi jujur di dunia ini dan kebanyakkan yang ada ialah orang-orang jahil, maka adalah kewajipan setiap orang Islam mewujudkan satu masyarakat Islam yang akan melahirkan hamba-hamba Allah yang jujur dan beragama.



PENGARUH SAHABAT

Sahabat ialah kayu pengukur bagi diri kita. Jika kita memilih sahabat yang bermoral rendah, terutama jika kita mempunyai keyakinan diri yang rendah, kurang cerdik dan kurang mentaati agama, maka dengan mudah kita akan terpengaruh dengan mereka. Seorang sahabat akan mengikut kelakuan sahabatnya yang lain hanya dalam waktu yang singkat sahaja. Apabila sifat yang kurang bermoral itu telah menjadi tabiatnya, kelak akan menjadi sukarlah untuk kembalikannya ke jalan yang diredhai Allah semula.

Faktor ini amat ketara sekali bagi remaja yang digelar mat lepak, bohjan dan bohsia adalah terpengaruh dengan ajakan sahabatnya.

Sabda Nabi s.a.w seperti yang telah diriwayatkan oleh At-Tarmizi r.a:

"Manusia itu sentiasa menurut (meniru) kelakuan temannya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa yang berkawan dengannya."

Sabda Nabi s.a.w lagi sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

"Perumpamaan teman yang soleh dan teman yang jahat ialah laksana pembawa wangi-wangian dan tukang besi. Adapun pembawa wangi-wangian, samada dia memberimu sedikit, ataupun anda dapat mencium daripadanya bau-bauan wangi. Adapun tukang-tukang besi, samada dia membakar bajumu, ataupun anda akan mencium daripadanya bau-bauan yang busuk."

Selain daripada itu juga, bahawa Nabi s.a.w bersabda sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Tarmizi r.a:

"Manusia akan bersama dengan siapa yang ia suka, dan baginya apa yang diusahanya."

Sekali lagi Nabi s.a.w telah bersabda sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Asakir:

"Awas, anda berkawan (bersahabat dengan sahabat yang jahat) nanti anda akan menjadi jahat juga."

Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati semasa memilih sahabat. Ibu bapa juga hendaklah mengambil perhatian siapakah sahabat bagi anak-anak mereka.

Jika kita tidak mengawal siapakah sahabat kita, lambat-laun kita akan terjebak dengan percampuran bebas atau gejala keruntuhan moral.

Gejala ini hendaklah dibendung sejak dari bayi lagi. Jangan sudah terhantuk, baru hendak mengadah. Sediakan payung sebelum hujan, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

No comments:

Post a Comment