SOLAT GERHANA (KUSUF & KHUSUF)
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
(Dinukil dari buku saya bertajuk Panduan Solat Sunat Cara Nabi S.A.W.)
Gerhana bulan adalah apabila bumi melindungi bulan dari cahaya matahari sehingga menyebabkan bulan kelihatan gelap. Gerhana matahari pula adalah apabila bulan melindungi bumi dari matahari sehingga bumi menjadi gelap seketika kerana tidak menerima cahaya dari matahari. Terdapat juga sesetengah pihak tatkala apabila mengalami peristiwa gerhana bulan mahupun matahari, namun mereka hanya melihat kejadian ini sebagai satu perkara yang luar biasa. Tidak kurang pula yang mengaitkannya dengan perkara-perkara mistik. Namun kejadian gerhana ini hanyalah merupakan di antara tanda-tanda kebesaran Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mentadbir seluruh alam. Apabila terjadi gerhana bulan mahupun matahari maka disunnahkan bagi kita untuk mengerjakan solat Solat Sunat Gerhana Bulan (Kusuf) dan Gerhana Matahari (Khusuf)
HUKUM SOLAT GERHANA
Para ulamak telah sepakat bahawa disyariatkan mengerjakan solat sebanyak dua rakaat sekiranya terjadi gerhana.
Menurut Ibn ‘Umar radhiallahu’ anh, Nabi s.a.w bersabda:
إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهَا فَصَلُّوا
Maksudnya:
Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (mengalami gerhana) maka dirikanlah solat. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1042.
Namun, para ulamak berbeza pendapat tentang hukum perlaksanaan solat Gerhana tersebut. Syeikh Muhammad bin ‘Umar bin Salim Bazmul pula menguatkan pendapat bahawa solat Gerhana ini hukumnya sunat mu’akkadah bersandarkan hadis berikut:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا ثُمَّ قَالَ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنْ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلبَكَيْتُمْ كَثِيرًا
Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai… Setelah baginda selesai solat, matahari telah kelihatan. Seterusnya baginda berkhutbah di hadapan manusia dengan memuji Allah serta menyanjung-Nya, kemudian bersabda:
Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat hal itu itu maka berdoalah kepada Allah, bertakbir, bersolat dan bersedekah.
Kemudian baginda bersabda: Wahai umat Muhammad! Demi Allah, tidak ada seorangpun yang lebih cemburu daripada Allah apabila hamba-Nya sama ada lelaki atau wanita melakukan perzinaan. Wahai umat Muhammad! Sekiranya kamu semua mengetahui apa yang aku ketahui pasti kamu semua akan tertawa sedikit dan lebih banyak menangis. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.
Dapat dikatakan di sini bahawa dalil yang terkandung di dalam hadis merupakan perintah agar mengerjakan solat itu berserta perintah agar bertakbir, berdoa dan bersedekah. Namun, tidak ada seorangpun yang mewajibkan bersedekah, bertakbir dan berdoa ketika terjadi gerhana. Oleh itu, menurut kesepakatan ijmak bahawa perintah tersebut bersifat sunat. – Rujuk Bughyat al-Mutatowwi Fi Solah al-Tatowwu' karya Syeikh Muhammad bin ‘Umar Salim Bazmul, edisi terjemahan bertajuk Meneladani Solat-Solat Sunnah Rasulullah s.a.w, Pustaka Imam al-Syafie, Bogor (2005), ms. 140-141.
Tetapi, tanggapan ulamak berijmak (sepakat) bahawa solat Gerhana ini hanyalah sunat mu’akkadah kurang tepat kerana terdapat juga ulamak yang mewajibkannya. Menurut al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah:
Majoriti ulamak mengatakan hukumnya adalah sunnah mu’akkadah (sunnah yang amat dituntut). Tetapi, Abu 'Awanah di dalam shahihnya menyatakan bahawa hukumnya adalah wajib. Aku tidak pernah menemui ulamak yang berpendapat sedemikian selain beliau kecuali apa yang dinukil daripada Malik yang menyamakannya dengan hukum solat Jumaat. Ibn al-Manayyar menukilkan daripada Abu Hanifah bahawa menurutnya hukum solat Gerhana adalah wajib. Demikian juga dinukilkan oleh sebahagian penulis kitab mazhab Hanafi. – Rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani tahqiq Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz, edisi terjemahan dengan tajuk Fath al-Bari Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari, Pustaka Azzam, Jakarta (2005), jil. 6, ms. 4.
Syeikh al-Albani rahimahullah pula menyokong pendapat bahawa solat Gerhana ini hukumnya wajib. Menurut beliau:
Inilah pendapat paling unggul (iaitu wajib solat Gerhana) dan untuk membuktikan penjelasan berikut ini, menurut pendapatku sesiapa yang mensunatkannya bererti dia telah mengabaikan perintah-perintah yang datang daripada Nabi s.a.w mengenai solat Gerhana tanpa ada dalil yang boleh menolak hukum asalnya, iaitu wajib. Al-Syaukani lebih cenderung kepada hukum wajib sebagaimana dinyatakan di dalam al-Sail al-Jarrar, jilid 1, muka surat 323 dan dipersetujui oleh Shadiq Khan di dalam al-Raudoh al-Nadiyyah. Inilah pendapat paling sahih. – Rujuk Kitab Tamam al-Minnah fi Ta’liq ‘Ala Fiqh al-Sunnah karya Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, edisi terjemahan dengan tajuk Tamamul Minnah Komentar Dan Koreksi Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Sayyid Sabiq, Maktabah Salafy Press,Jakarta (2002), jil. 1, ms. 329.
Syeikh al-‘Utsaimin rahimahullah pula menegaskan bahawa majoriti ulamak menyatakan solat Gerhana adalah sunat mu’akkadah. Namun, sebahagian ulamak menyatakan ia wajib sama ada termasuk kategori fardu ‘ain atau fardu kifayah kerana terdapat perintah daripada Rasulullah s.a.w agar mengerjakan solat itu. Malah, perintah itu menunjukkan wajib.
Setelah itu, beliau menguatkan pandangan bahawa hukum solat Gerhana adalah wajib katanya:
Tidak diragukan lagi bahawa dalil ini cukup kuat baik dari sumber riwayat mahupun melalui pengkajian cerdik pandai agama. Paling tidak ia termasuk kategori fardu kifayah. Inilah menurut pendapat kami. Manakala pendapat jumhur, mereka tidak memiliki dalil yang menunjukkan perkara itu tidak wajib kecuali sabda Nabi s.a.w kepada seorang lelaki yang bertanya kepadanya:
Apakah ada lagi selain itu (selain kewajipan solat lima waktu)? Baginda menjawab: Tidak! Kecuali solat sunat. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Imaan, no: 46.
Hal ini tidak bererti menolak kewajipan solat-solat selain solat lima waktu apabila wujud sebab yang mewajibkannya. Apa yang dimaksudkan dengan kalimah nafi 'tidak!' sebagaimana sabda baginda s.a.w, iaitu berkaitan solat-solat rawatib yang selalu berulang setiap hari. Mengenai solat-solat yang berkait dengan sebab-sebab tertentu, maka hadis ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak kewajipannya.
Kesimpulannya, kami memandang bahawa solat Gerhana adalah wajib sama ada fardu atas setiap individu (fardu ‘ain) atau fardu kifayah (memadai dikerjakan oleh sebahagian kaum muslimin sahaja). – Rujuk Kitab Majmu’ Fatawa Arkanil Islam karya Syeikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, edisi terjemahan dengan tajuk Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Akidah dan Ibadah, Pustaka Arafah, Solo (2002), jil. 1, ms. 429-430.
Dengan ini, dapat kita fahami bahawa perlaksanaan solat Gerhana ini adalah satu perkara yang dipandang besar di kalangan para ulamak sehingga ada yang mewajibkannya. Pengajian hukum sunat atau wajib berkaitan sesuatu amalan itu hanyalah berbentuk kajian ilmiah dan bertujuan mengetahui sama ada sesuatu amalan itu dibenarkan untuk ditinggalkan atau tidak.
Namun, bagi mereka yang mencintai sunnah Nabi s.a.w sekiranya sesuatu sunnah itu sabit daripada hadis yang sahih maka mereka akan berusaha mengerjakannya tanpa memikirkan sama ada ia wajib atau sunat.
Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam:
Seorang muslim sewajarnya mematuhi syariat tanpa memandang apakah ia fardu atau sunat. Apa yang penting dia melakukan kerana mematuhi syariat Allah semata-mata mengikuti sunnah Nabi-Nya dan mengharapkan ganjaran pahala. Pembahasan mengenai hukum hanya diperlukan ketika berlaku suatu waktu ingin meninggalkannya. Ketika itu apakah sunnah yang akan ditinggalkannya itu sesuatu yang wajib atau sunat (agar tidak bergelumang dengan dosa meninggalkan sunnah). Oleh itu, menjadi kewajipan seorang hamba agar serius beribadah. Manakala dalam kajian ilmiah dan mengetahui hukum-hukumnya bertujuan mengetahui antara yang fardu dan yang sunat. - Rujuk Taudhih al-Ahkam Min Bulughul Maram karya Syeikh Abdullah Abdul Rahman al-Bassam, edisi terjemahan dengan tajuk Syarah Bulughul Maram, Pustaka Azzam, Jakarta (2006), jil. 1, ms. 217.
TATACARA MENGERJAKAN SOLAT GERHANA
Waktu Dikerjakan Solat Gerhana.
Aisyah radhiallahu’ anha berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ
Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai… Setelah baginda selesai solat matahari telah kelihatan. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.
Hadis di atas merupakan dalil tentang waktu harus dikerjakan solat Gerhana, iaitu bermula terjadinya gerhana sehingga berakhirnya gerhana. Sungguhpun begitu, sekiranya kita telah menyelesaikan perlaksanaan solat Gerhana namun gerhana tersebut belum berakhir, kita hendaklah memperbanyakan berdoa dan berzikir.
Menurut al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah:
Lafaz ini (hingga matahari kelihatan) merupakan dalil tentang lamanya solat Gerhana, iaitu hingga matahari nampak kembali. Al-Tohawi berpendapat bahawa di dalam hadis dinyatakan hendaklah kamu semua solat dan berdoa. Dalam erti kata lain, jika kita selesai melaksanakan solat Gerhana, namun matahari masih belum juga kelihatan, kita hendaklah memperbanyakan berdoa sehingga gerhana berakhir.
Ibn Daqiq al-'Id menguatkan lagi pendapat ini bahawa had waktu tersebut (antara mula gerhana hingga matahari muncul kembali) adalah had waktu untuk solat dan berdoa. Malah bermungkinan doa tersebut boleh dilakukan setelah selesai solat hinggalah matahari muncul kembali. Oleh itu, solat Gerhana tidak harus dilakukan terlalu lama atau mengulanginya beberapa kali jika matahari belum kelihatan sehingga matahari muncul (gerhana berakhir). – Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, jil. 6, ms. 6.
Dikerjakan Di Masjid Secara Berjemaah Oleh Lelaki Dan Wanita.
Perlaksanaan solat Gerhana ini adalah secara berjemaah. Ia dilaksanakan di masjid dan bukan di musolla, iaitu tanah lapang seperti solat hari raya dan istisqa’ (mohon hujan).
Imam Syafie rahimahullah berkata:
Solat ketika terjadi gerhana matahari dan bulan diadakan secara berjemaah. Solat seperti ini tidak dilakukan pada tanda-tanda kebesaran Allah yang lain kecuali hanya pada gerhana matahari dan bulan. – Rujuk Mukhtasar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris al-Syafie, ringkasan dan tahqiq oleh Husain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, edisi terjemahan dengan tajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Pustaka Azzam, Jakarta (2005), jil. 1, ms. 341.
Dalil tentang disyariatkan perlaksanaan solat Gerhana secara berjemaah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah radhiallahu’ anha katanya:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي حَيَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَصَفَّ النَّاسُ وَرَاءَهُ فَكَبَّرَ
Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada zaman Nabi s.a.w lantas baginda keluar menuju ke masjid dan orang ramai berbaris di belakangnya lalu baginda bertakbir. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.
Solat Gerhana ini bukan hanya dikerjakan oleh kaum lelaki malah kaum wanita juga boleh turut serta mengerjakannya secara berjemaah.
Menurut Hisyam bin 'Urwah radhiallahu’ anh, Fatimah Binti al-Mundzir radhiallahu’ anha telah meriwayatkan daripada Asma' binti Abu Bakar radhiallahu’ anhuma katanya:
أَتَيْتُ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ خَسَفَتْ الشَّمْسُ فَإِذَا النَّاسُ قِيَامٌ يُصَلُّونَ وَإِذَا هِيَ قَائِمَةٌ تُصَلِّي...
Maksudnya:
Aku telah menemui Aisyah radhiallahu’ anha ketika terjadi gerhana matahari. Ternyata manusia berdiri mengerjakan solat. Begitu juga Aisyah berdiri mengerjakan solat. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1053.
Namun, sekiranya solat Gerhana itu tidak dilakukan secara berjemaah ia tetap sah. Menurut al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah, dalil yang mengharuskan solat Gerhana dikerjakan secara besendirian sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ
Maksudnya:
Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (matahari dan bulan mengalami gerhana), bersegeralah solat. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.
Al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah berkata:
Berdasarkan lafaz ini dapat disimpulkan bahawa berjemaah bukanlah syarat sahnya solat Gerhana. Ini kerana terdapat terdapat isyarat di sini agar segera melaksanakan solat. Sedangkan menunggu jemaah kadang-kadang mengakibatkan waktu solat tamat atau membiarkan sebahagian waktu tanpa diisi dengan solat. – Rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, jil. 6, ms. 29.
Hendaklah Diserukan As-solatu Jami'ah Atau Innas Solata Jami'ah Sebelum Memulakan Solat.
Tidak ada seruan azan sebelum didirikan solat Gerhana tetapi disunnahkan melaungkan as-solatu jami'ah ataupun innas solata jami'ah.
Imam Syafie rahimahullah berkata:
Tidak ada laungan azan untuk solat Gerhana, solat hari raya, dan semua solat yang bukan solat fardu. Aku lebih menyukai imam agar memerintahkan seseorang meneriakkan as-solatu jami'ah. – Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris Syafie, jil. 1, ms. 344-345.
Abdullah bin Amr radhiallahu’ anh berkata:
لَمَّا كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نُودِيَ إِنَّ الصَّلاَةَ جَامِعَةٌ
Maksudnya:
Ketika terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w, lantas diserukan innas solata jami'ah (sesungguhnya solat berjemaah akan didirikan). – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1045.
Dikerjakan Sebanyak Dua Rakaat.
Jumlah rakaat solat Gerhana adalah dua rakaat sahaja. Syeikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:
Jumhur ulamak mengatakan bahawa solat itu (gerhana) dilakukan dua rakaat dan setiap rakaat dengan dua kali rukuk. – Rujuk Kitab Fiqh al-Sunnah karya Syeikh Sayyid Sabiq, edisis terjemahan dengan tajuk Fikih Sunnah, Victory Agencie, Kuala Lumpur (1990), jil. 1, ms. 74.
Abu Bakrah radhiallahu’ anh berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ يَجُرُّ رِدَاءَهُ حَتَّى انْتَهَى إِلَى الْمَسْجِدِ وَثَابَ النَّاسُ إِلَيْهِ فَصَلَّى بِهِمْ رَكْعَتَيْنِ فَانْجَلَتْ الشَّمْسُ
Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas baginda keluar sambil menarik atau menyeret rida' (kain yang diletakkan di atas bahu) hingga sampai ke masjid dan orang ramai telah berkumpul di sekelilingnya lalu baginda solat dua rakaat mengimami mereka. Kemudian matahari bersinar kembali. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1063.
Diperpanjangkan Bacaan Dalam Solat Gerhana.
Aisyah radhiallahu’ anha berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ
Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai. Baginda berdiri dan memperlamakan berdiri. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.
Al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah ketika menjelaskan tentang baginda memanjangkan berdiri katanya:
Dalam riwayat Ibn Syihab disebutkan:
فَقَرَأَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً
Maksudnya:
Maka baginda membaca dengan bacaan yang panjang.
Manakala pada bahagian akhir perbahasan tentang solat melalui jalur lain daripada Ibn Syihab disebut pula maka baginda s.a.w membaca surah yang panjang. Disebutkan dalam hadis Ibn Abbas yang akan disebutkan setelah empat bab:
فَقَرَأَ نَحْوًا مِنْ سُورَة الْبَقَرَة فِي الرَّكْعَة الأُولَى
Maksudnya:
Baginda membaca ayat seperti panjangnya surah al-Baqarah pada rakaat pertama.
Abu Daud meriwayatkan riwayat yang serupa melalui jalur Sulaiman bin Yasar daripada Urwah sambil menambah lafaz:
قَرَأَ فِي الْقِيَام الأَوَّل مِنْ الرَّكْعَة الثَّانِيَة نَحْوًا مِنْ آل عِمْرَان
Maksudnya:
Baginda s.a.w membaca (ayat) seperti panjangnya surah Ali ‘Imran ketika berdiri pertama pada rakaat kedua. – Rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqlani, jil. 6, ms. 14-15.
Terdapat Empat Kali Rukuk.
Berbeza dengan solat-solat sunat yang lain, solat Gerhana memiliki empat kali rukuk, iaitu dua kali rukuk setiap rakaat.
Aisyah radhiallahu’ anha berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الأُولَى ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ
Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai. Baginda berdiri dan memanjangkan berdiri, kemudian rukuk dan memanjangkan rukuk.
Kemudian baginda berdiri dan memanjangkan berdiri namun lebih pendek dari berdiri yang pertama. Kemudian baginda rukuk dan memanjangkan rukuk, namun lebih pendek dari rukuk yang pertama.
Kemudian baginda sujud dan memanjangkan sujud seterusnya melakukan pada rakaat kedua sama seperti yang dilakukan pada rakaat pertama.
Kemudian baginda selesai solat dan matahari telah kelihatan sinarnya kembali. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.
Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa perbezaan solat Gerhana berbanding solat-solat yang lain ialah sebaik sahaja membaca al-Fatihah dan mana-mana surah dari al-Quran kita hendaklah rukuk. Kemudian bangun kembali dan sekali lagi membaca al-Fatihah dan mana-mana surah dari al-Quran lalu rukuk semula. Kemudian iktidal lalu sujud dan teruskan solat sebagaimana solat-solat yang lain.
Ulangi perkara yang sama pada rakaat kedua. Tidak terdapat riwayat yang menunjukkan adanya zikir-zikir atau bacaan yang khusus untuk solat Gerhana ketika rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyyat. Oleh itu, kita boleh membaca apa jua bacaan ketika solat yang sabit daripada Rasulullah s.a.w sebagaimana yang terdapat dalam hadis.
Menguatkan Suara (Jahr).
Suara hendaklah dinyaringkan ketika membaca ayat al-Quran dalam solat Gerhana. Menurut 'Urwah, Aisyah radhiallahu’ anha berkata:
جَهَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلاَةِ الْخُسُوفِ بِقِرَاءَتِهِ فَإِذَا فَرَغَ مِنْ قِرَاءَتِهِ كَبَّرَ فَرَكَعَ وَإِذَا رَفَعَ مِنْ الرَّكْعَةِ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ثُمَّ يُعَاوِدُ الْقِرَاءَةَ فِي صَلاَةِ الْكُسُوفِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ
Maksudnya:
Nabi s.a.w mengeraskan bacaan pada solat Gerhana. Apabila selesai membaca baginda terus bertakbir dan rukuk. Apabila baginda selesai rukuk, baginda mengucapkan sami’allaahu liman hamidah rabbana lakal hamdu (semoga Allah mendengar orang yang memuji-Nya, wahai Tuhan kami bagi-Mu segala pujian), kemudian baginda membaca kembali. Pada solat Gerhana terdapat empat kali rukuk dalam dua rakaat dan empat kali sujud. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1065.
Syeikh al-Albani rahimahullah berkata:
Telah ditetapkan oleh Allah bahawa solat Gerhana matahari dilakukan oleh Nabi s.a.w hanya sekali. Juga telah diriwayatkan daripada hadis sahih bahawa baginda mengeraskan bacaan al-Quran seperti yang dijelaskan di dalam Sahih al-Bukhari dan tidak benar jika ada mengatakan bahawa terdapat hadis lain yang menyanggahinya. – Rujuk Kitab Tamam al-Minnah fi Ta’liq ‘Ala Fiqh al-Sunnah karya Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, jil. 1, ms. 331.
Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Gerhana
Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Gerhana (Kusuf atau Khusuf)
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Membaca Surah al-Fatihah
9) Membaca Surah al-Qur’an
10) Rukuk
11) Iktidal
12) Sujud
13) Duduk antara dua sujud
14) Sujud kali kedua
15) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1) Membaca surah al-Fatihah
2) Membaca Surah al-Qur’an
3) Rukuk
4) Iktidal
5) Membaca Surah al-Fatihah
6) Membaca Surah al-Qur’an
7) Rukuk
8) Iktidal
9) Sujud
10) Duduk antara dua sujud
11) Sujud kali kedua
12) Duduk untuk tahiyyat akhir
13) Memberi salam ke kanan dan ke kiri
Khutbah Ringkas Selepas Solat.
Setelah selesai mengerjakan solat Gerhana, sunnah dilaksanakan khutbah yang ringkas.
Imam Syafie rahimahullah berkata:
Imam hendaklah menjadikan khutbah ketika solat Gerhana matahari seperti khutbah-khutbah lain, iaitu dimulai dengan puji-pujian kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi s.a.w, mendorong manusia berbuat kebajikan, memerintahkan mereka bertaubat serta mendekatkan diri kepada Allah. – Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris Syafie, jil. 1, ms. 344.
Antara contoh khutbah Rasulullah s.a.w setelah mendirikan solat Gerhana seperti di bawah.
Aisyah radhiallahu’ anha berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ
Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas Rasulullah s.a.w mengimami solat manusia… Setelah baginda selesai solat dan matahari telah kelihatan sinarnya kembali. Lalu baginda berkhutbah di hadapan orang ramai dengan memuji Allah serta menyanjung-Nya. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.
Aisyah radhiallahu’ anha berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي حَيَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَصَفَّ النَّاسُ وَرَاءَهُ فَكَبَّرَ... فَاسْتَكْمَلَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي أَرْبَعِ سَجَدَاتٍ وَانْجَلَتْ الشَّمْسُ قَبْلَ أَنْ يَنْصَرِفَ ثُمَّ قَامَ فَأَثْنَى عَلَى اللَّهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ
Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada zaman Nabi s.a.w lantas baginda keluar menuju ke masjid dan orang ramai berbaris di belakangnya, lalu baginda bertakbir… Baginda s.a.w menyempurnakan empat kali rukuk pada empat kali sujud dan matahari telah mula kelihatan sebelum baginda selesai solat. Kemudian baginda berdiri lalu memuji Allah sebagaimana yang layak untuk-Nya (semasa berkhutbah). – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.
No comments:
Post a Comment