Kalau Tuhan tidak 'wujud' di dalam ibadah, lama
kelamaan, Tuhan akan bertambah jauh dan bertambah jauh. Lebih-lebih
lagilah kalau tujuan dan niat ibadah itu adalah untuk dipuji, untuk disanjung,
dan kerana sebab-sebab lain yang berbentuk duniawi. Sudah tentulah
ia tidak akan ada nilai apa-apa. Malahan ibadah seperti ini akan Allah
lemparkan semula ke muka pengamalnya beserta dengan laknat-Nya
sekali. Lagi banyak dia beribadah, lagi dia rasa sombong, angkuh, riyak,
ujub, rasa diri mulia, rasa diri baik dan sebagainya. Lagi banyak dia
beribadah, lagi dia pandang orang lain hina, jahat dan tidak berguna.
Beramal dalam Islam ada tertibnya. Ada
“progression”nya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Ia bermula dengan
Syariat, kemudian dengan Tariqat, diikuti pula dengan Hakikat dan diakhiri
dengan Makrifat.
1. Syariat.
Ini adalah ilmu. Ia melibatkan ilmu tentang
peraturan, hukum-hakam, halal haram, sah batal dan sebagainya. Ilmu perlu dalam
beramal. Tanpa ilmu, kita tidak tahu macam mana hendak beramal mengikut cara
yang Tuhan mahu. Kalaupun kita sudah cinta dan takut dengan Tuhan dan kita
terdorong untuk menyembah-Nya, kita tidak boleh berbuat demikian ikut sesuka
hati kita atau ikut cara yang kita cipta sendiri. Tuhan tidak terima, kita
mesti ikut cara yang ditetapkan oleh Islam dan kita mesti belajar. Amalan tanpa
ilmu itu tertolak. Ilmu atau syariat ini ibarat biji benih.
2. Tariqat.
Ini adalah peringkat menghidupkan ilmu menjadi
amalan secara istiqamah dan bersungguh-sungguh, difahami, dihayati. Ilmu
[syariat] yang ada perlu dilaksanakan. Pengamalan ilmu ini dinamakan juga
tariqat wajib dan ia tidak sama maksudnya dengan tariqat sunat yang mengandungi
wirid-wirid dan zikir-zikir yang menjadi amalan setengah pengamal-pengamal
sufi. Tariqat ini ibarat kita menanam biji benih tadi [syariat] hingga ia
bercambah, tumbuh dan menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun.
3.Hakikat.
Hakikat adalah buah. Selepas kita ada syariat,
kemudian kita amalkan syariat itu hingga ia naik ke peringkat tariqat, yakni ia
menjadi sebatang pokok yang bercabang dan berdaun, maka kalau cukup
syarat-syaratnya maka pokok itu akan menghasilkan buah.
Buah tariqat adalah akhlak dan peningkatan
peringkat nafsu atau pencapaian maqam-maqam mahmudah. Boleh jadi ia menghasilkan
maqam sabar, maqam redha, maqam tawakkal, maqam tawadhuk, maqam syukur dan
berbagai-bagai maqam lagi. Boleh jadi hanya terhasil satu maqam sahaja [sebiji
buah sahaja] atau boleh jadi akan terhasil beberapa maqam berbeza dari satu
pokok yang sama.
Hakikat juga adalah satu perubahan jiwa atau
perubahan peringkat nafsu hasil dari syariat dan tariqat yang dibuat dengan
bersungguh-sungguh, istiqamah, faham dan dihayati.
4. Makrifat.
Ini adalah hasil dari hakikat, iaitu hal-hal
hakikat yang dapat dirasai secara istiqamah. Ia adalah satu tahap kemajuan
rohaniah yang tertinggi hingga dapat benar-benar mengenal Allah dan
rahsia-rahsia-Nya. Orang yang sudah sampai ke tahap ini digelar Al Arifbillah.
Kalau kita lihat dengan teliti, tertib dalam amalan
ini bermula dari yang lahir dan berakhir dengan yang batin.
Syariat dan tariqat itu terletak dalam kawasan
lahir.
Hakikat dan makrifat pula menjangkau ke alam batin
iaitu ke dalam hati dan rohani.
Kita juga dapat lihat bahawa peringkat syariat dan
tariqat adalah peringkat-peringkat yang agak mudah untuk dicapai kerana ia
hanya melibatkan usaha lahir. Tetapi untuk mencapai peringkat hakikat dan
makrifat, ia agak lebih sukar dan lebih rumit.
Kesukaran ini ialah kerana pertama, ia memerlukan
istiqamah dalam beramal dan kedua kerana ia memerlukan juga amalan batin atau
amalan hati atau apa yang dinamakan hikmah. Amalan yang berhikmah ialah amalan
yang dihayati dan dijiwai, yang mempunyai roh dan rasa-rasa. Tanpa kedua-dua
perkara ini iaitu istiqamah dan hikmah, tariqat tidak akan dapat melonjak ke
peringkat hakikat dan seterusnya ke peringkat makrifat.
Itu sebabnya ramai orang yang berjaya sampai ke
peringkat tariqat iaitu boleh berilmu dan beramal tetapi tersekat di situ
sampai ke tua tanpa dapat meningkat ke peringkat hakikat. Sudah beramal selama
50 hingga 60 tahun tetapi tidak juga lahir akhlak dan tidak juga dapat mencapai
maqam-maqam mahmudah. Dalam ertikata yang lain, mereka sudah beribadah berpuluh-puluh
tahun tetapi ibadah mereka belum menghasilkan buah iaitu akhlak.
Istiqamah.
Ini adalah salah satu syarat atau tuntutan untuk
mencapai hakikat. Istiqamah ialah tetap dalam beramal. Amalan pula adalah
amalan lahir dan ada amalan batin atau hati. Istiqamah itu perlu dalam amalan
lahir mahupun amalan batin. Malahan istiqamah dalam amalan batin lebih
dituntut.
Istiqamah dalam amalan lahir agak mudah. Ramai
orang yang istiqamah dalam sembahyang, dalam berpuasa, dalam berzakat dan
sebagainya. Ramai yang tak tinggal sembahyang, tak tinggal puasa. Tetapi
istiqamah dalam amalan batin adalah lebih sukar dan rumit. Istiqamah dalam
amalan batin ini ramai yang tidak mampu melakukannya walaupun sudah istiqamah
dalam amalan lahir.
Ramai orang cuba sabar tapi tidak istiqamah dalam
sabar. Duit hilang boleh sabar. Sakit dan demam boleh sabar. Tapi bila orang
kata nista dan menghina, tidak sabar. Bila isteri buat hal, tidak sabar.
Ramai orang boleh bersyukur. Dapat duit bersyukur,
dapat pangkat bersyukur, dapat anak pun bersyukur tapi tidak mampu bersyukur
bila dapat berbuat ibadah dan kebaikan, dan bila terhindar dari berbuat maksiat
dan kejahatan.
Ramai orang boleh jadi pemaaf kalau yang meminta
maaf itu kawannya, isterinya atau anaknya. Tapi kalau yang meminta maaf itu
musuh atau seterunya, susah dia hendak maafkan.
Ramai orang boleh berbuat baik kepada kawannya,
sanak-saudaranya, ibu dan ayahnya yang selalu berbuat baik padanya tetapi tidak
sanggup berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat padanya.
Ramai orang boleh bertegur sapa dan bermesra dengan
kawan-kawannya tetapi tidak boleh bertegur sapa dan bermesra dengan orang yang
dibencinya. Begitulah seterusnya.
Sangat susah dan payah untuk kita beristiqamah
dalam amalan hati. Justeru itu ia tidak dapat dijadikan pakaian atau ia tidak
dapat mendarah mendaging. Itu sebab istiqamah itu, terutamanya istiqamah
batiniah sangat dipandang besar. Ia dianggap satu keramat.
Ada hadis yang maksudnya lebih kurang ;
"janganlah kamu meminta jadi wali, tapi
mintalah istiqamah"
Amalan yang tidak istiqamah tidak akan ada kesan
apa-apa pada hati. Amalan yang istiqamah, walaupun sedikit akan tetap ada kesan
pada hati.
Ibarat air yang menitik ke atas batu, lama kelamaan
batu itu akan terlekuk jua. Tetapi air banjir yang besar yang melanda batu
sekali sekala tidak akan memberi apa-apa kesan kepada batu.
Istiqamah adalah tanda ikhlas. Kalau sesuatu amalan
itu tidak ikhlas, ia sukar untuk diistiqamahkan.
Seperti kata para hukama [ahli hikmah] ;
"Hidupnya [kekalnya] amal kerana ikhlas."
Dalam pada itu, istiqamah batiniah lebih memberi
kesan kepada hati daripada istiqamah lahiriah. Itu sebabnya istiqamah batiniah
lebih dituntut dan lebih utama. Ia adalah amalan hati dan kerana itu ia
mempunyai kesan yang langsung dan terus kepada hati.
Hikmah.
Ia adalah syarat atau tuntutan kedua untuk mencapai
hakikat. Hikmah di sini bukan bermaksud bijaksana. Kalau bijaksana, orang Arab
akan sebut "Abqoriah". Hikmah di sini bukan bermaksud ilmu atau
setakat faham ilmu sahaja. Hikmah ialah ilmu dalam ilmu. Hikmah adalah rasa dan
penghayatan. Ia adalah rasa yang Allah campakkan ke dalam hati.
Untuk mendapat ilmu, kita boleh belajar. Tetapi
untuk mendapat hikmah, ilmu mesti diamal. Baru ilmu itu bukan setakat di akal
tetapi jatuh ke hati. Ilmu hati ini sahaja yang boleh mengubah dan menginsafkan
orang.
Kalau ilmu lahir itu dikendalikan oleh akal, hikmah
pula ialah ilmu yang dikendalikan oleh roh atau hati.
Seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis ;
Maksudnya ; "Kalau kamu amal ilmu yang kamu
tahu, Allah akan ajar kamu ilmu [hikmah] yang kamu tidak tahu."
Untuk menjadi ulama itu senang. Tetapi untuk
menjadi ahli hikmah sangat susah. Ilmu adalah apa yang kita belajar tetapi
hikmah adalah apa yang Tuhan ajar kita
seperti dalam firman Allah ;
Maksudnya ; "Hendaklah kamu bertaqwa kepada
Allah, Allah akan ajar kamu ilmu [hikmah]. Sesungguhnya Allah Mengetahui segala
sesuatu." [Al Baqarah : Ayat 282]
Orang yang mendapat ilmu hikmah, dia mendekati
nabi. Inilah dua perkara yang perlu dititik beratkan kalau sekiranya amalan
hendak ditingkatkan dari peringkat tariqat kepada hakikat dan seterusnya kepada
makrifat.
Ia memerlukan penglibatan hati dan rohani dalam
ibadah dalam bentuk penjiwaan dan istiqamah terutamanya istiqamah batiniah di
samping amalan lahiriah yang baik dan rapi.
Kalau hati dan rohani tidak turut sama beribadah,
agak mustahil perkara ini boleh tercapai.
Untuk mendapat buah dari ibadah iaitu akhlak dan
untuk mencapai maqam-maqam mahmudah, ibadah mesti ada roh, mesti ada rasa-rasa,
mesti ada penjiwaan dan mesti ada penghayatan. Salahlah orang yang menafikan
amalan hati dan amalan rohani dalam ibadah.
Kalau amalan lahir sahaja dititikberatkan maka ia
mungkin memadai di peringkat syariat dan tariqat iaitu pada peringkat ilmu dan
amal. Memang itu kerja lahir. Tetapi untuk mendapat hasil dari ilmu dan amal
tersebut dan supaya ibadah boleh mendidik hati, amalan lahir semata-mata tidak
memadai. Dalam ertikata yang lain, untuk mencapai maqam hakikat dalam ibadah
dan amalan, itu bukan lagi kerja lahir. Itu adalah kerja hati.
Dipetik drp: cahayamukmin.blogspot.com
Dipetik drp: cahayamukmin.blogspot.com
No comments:
Post a Comment