Sunday

Taharah Rohani


Sangat sukar bagi setiap manusia untuk membersihkan kekotoran hati ini, kerana ia tidak boleh dicuci dengan sabun, peluntur atau pun berus, kerana kotoran rohani ini letaknya di dalam hati manusia. Di antara kotoran rohani ialah seperti sentiasa melakukan dosa, suka kepada maksiat, hasad dengki, tamak, dendam, bangga diri dan sebagainya. Kekotoran seperti ini boleh menyebabkan manusia diseksa oleh Allah sepertimana firmanNya :“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, Dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).” (Al-Baqarah : 10)

Kekotoran rohani ini kebanyakkannya berpunca daripada faktor pemakanan dan pendidikan seseorang. Jika seseorang itu dibekalkan dengan makanan dari hasil yang haram seperti wang judi, rasuah, wang curi dan sebagainya. Maka dirinya atau darah dagingnya akan dibentuk dengan perkara yang haram dan menyebabkannya berat untuk melakukan ibadah, perbuatan yang baik dan sebagainya. Hatinya juga menjadi keras dan susah untuk dibentuk menjadi seorang muslim yang sejati.

Begitu juga dengan pendidikan, setiap anak yang baru dilahirkan merupakan fitrah dan bersih yang akan membentuknya adalah ibu bapanya. Kalau ibu bapanya mendidiknya seperti mana dituntut oleh agama Islam, nescaya anak tersebut akan menjadi manusia yang soleh dan taqwa. Jika tidak diberikan penghayatan Islam yang sempurna sepertimana disuruh oleh agama Islam, maka anak tersebut akan menjadi seperti yahudi dan nasrani. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya :
“Setiap anak dilahirkan dalam fitrahnya. Keduanya orang tuanya yang menjadikannya sebagai Yahudi, Nashrani atau Majusi.”(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Zaman sekarang ini, ramai ibu bapa tidak lagi menghiraukan penghayatan agama anak-anak mereka, yang mereka risaukan adalah UPSR, PMR, SPM dan ijazah anak mereka, bagi mereka semua itu akan menentukan masa depan anak-anak mereka. Rasa bangga dengan keputusan 9A atau BA (Hons) yang diperolehi oleh anak mereka. Mereka membayangkan anak-anak mereka memperolehi pekerjaan yang besar dan gaji yang lumayan. Tetapi dalam masa yang sama, mereka gagal memberikan didikkan Islam kepada anak mereka yang jelas ia merupakan fardhu ain. Kegagalan inilah yang menyebabkan anak-anak tidak tahu dosa dan pahala, halal dan haram. Diantara perbuatan tersebut ialah seperti pecah amanah, buang anak, mencuri, gila, sakit jiwa, tekanan perasaan disebabkan hutang atau sebagainya. Semua kotoran rohani ini boleh ditaharahkan dengan cara :
Solat

Datang seorang lelaki menemui Rasulullah dan berkata : “Ya Rasulullah tunjukkan pada aku perbuatan yang perlu aku lakukan untuk membolehkan aku masuk ke syurga”. Rasulullah bersabda :
 
“ Beribadahlah kepada Allah dengan tidak menyekutukannya sedikit pun, kerjakanlah solat, tunaikanlah zakat dan berpuasa di bulan Ramadhan”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Solat adalah satu nama yang menunjukkan adanya ikatan yang kuat antara manusia dengan Allah. Orang yang mengerjakan solat seolahnya sedang berada dihadapan Allah dengan penuh ketakutan dan kekhusyukkan dengan memohon banyak perkara daripada Allah. Hal ini boleh membersihkan hati seseorang, dapat melahirkan ketenangan jiwa dan keamanan dalam kehidupan seseorang yang mengerjakannya. Solat yang khusyuk dapat menghindarkan diri daripada melakukan segala perbuatan maksiat dan Allah sentiasa melindungi orang yang mengerjakan solat dengan hati yang ikhlas dan khusyuk kepada Allah, sepertimana firman Allah SWT :
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar”. (Al-Ankabut : 45)Zakat dan Sedekah

Allah telah mewajibkan zakat ke atas orang Islam yang mempunyai harta yang banyak dan cukup haulnya selama setahun Hijrah dengan syarat-syarat tertentu. Sedekah pula adalah menginfakkan sebahagian harta kepada orang fakir miskin dan orang yang memerlukan bantu tanpa ditetapkan syarat-syarat tertentu.

Zakat dan sedekah adalah merupakan latihan kepada orang Islam untuk membuat baik antara satu sama lain dan ia dapat mengeratkan hubungan silatulrahim antara sesama Islam. Zakat dan sedekah juga dapat membersihkan harta seseorang itu dari memakan harta orang lain. Harta yang dimiliki bukan kesemuanya adalah miliknya dan sebahagian harta tersebut perlu dizakat dan disedekahkan kepada orang yang memerlukan. Harta dunia hanya sementara dan tidak kekal selama-lamanya. Firman Allah SWT :
“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (Al-Taubah : 103)

Orang yang mengeluarkan zakat dan bersedekah dapat mendidik jiwanya supaya tidak baqil atau kedekut dengan orang lain, semoga ia mempunyai sifat bantu membantu dan kasih mengasihani antara satu sama lain.
Puasa

Puasa adalah salah satu latihan dan didikan jiwa yang dapat membendung segala nafsu amarah manusia. Ibadah puasa berupaya menyembuhkan manusia dari berbagai penyakit jasmani dan rohani. Firman Allah SAW :
“Wahai orang-orang yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah : 183)

Dalam Tafsir Jalalain disebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan ayat di atas ini adalah untuk menjauhkan diri dari perbuatan maksiat. Sesungguhnya puasa dapat menghindari diri dari melakukan maksiat dan juga dapat meredakan syahwat dalam diri seseorang Islam.
Haji

Mengerjakan haji adalah rukun Islam yang kelima. Ia dilakukan bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk mengerjakannya. Orang yang mengerjakan haji akan mempunyai perasaan yang gemuruh, rasa aman, tenang dan bahagia. Haji yang ikhlas dapat melatih diri bertanggungjawab dan mempunyai jiwa yang kental. Haji merupakan satu latihan yang sangat susah untuk dilalui dan ia memerlukan pengorbanan yang sangat besar. Dalam ibadah haji, melatih seseorang itu sering mengingati Allah, selalu berdoa kepada Allah, mengerjakan solat, mengorbankan binatang kerana Allah. Melatih seseorang itu merendahkan diri dengan meninggalkan pakaian yang indah dan cantik, mencukur rambut yang hebat dan cantik. Haji juga dapat menguatkan semangat kerjasama dan silaturahim antara satu sama lain.

Orang yang mengerjakan haji dengan ikhlas hatinya dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukannya selama ia hidup dengan memperolehi gelaran haji yang mabrur. Seolahnya ia seperti kanak-kanak yang baru dilahirkan dan berada dalam keadaan bersih. Sabda Rasulullah :
“Dari satu umrah ke umrah lainnya adalah penghapus dosa yang ada di antara keduanya dan Haji Mabrur tiada balasan untuknya kecuali syurga”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)Sabar

Sifat sabar adalah salah satu penyebab datangnya keuntungan kepada orang yang mempunyai sifat sabar sepertimana firman Allah yang berbunyi :
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Ali Imran : 200)

Sabar mempunyai faedah yang besar dalam mendidik jiwa manusia dan menguatkan peribadi manusia hingga menambah kekuatannya untuk mengharungi bebanan kehidupan. Sabar juga dapat memperbaharui semangat untuk mengharungi segala dugaan yang dilaluinya. Sabar adalah salah satu sifat yang perlu dimiliki oleh setiap orang muslim, kerana orang yang sabar mempunyai jati diri yang kuat dalam mengharungi segala rintangannya dan segala rintangan tersebut tidak dapat melemahkan keinginannya.
Istiqfar Dan Bertaubat

Sudah menjadi fitrah manusia tidak akan terlepas dari segala kesilapan dan dosa. Rasulullah saw bersabda :
“Setiap anak Adam mempunyai banyak kesalahan, dan sebaik-baiknya orang yang bersalah adalah yang bertaubat”. (Riwayat Ahmad)

Taubat diwajibkan kepada sesiapa yang melakukan dosa. Setiap muslim pasti pernah melakukan dosa dan lalai dalam menunaikan ibadah kepada Allah. Pintu taubat sentiasa dibukakan kepada sesiapa yang ingin bertaubat dengan kesalahan yang telah dilakukannya. Allah sentiasa menerima taubat dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Firman Allah yang berbunyi :
“ Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar : 53)Zikir

Sesungguhnya orang yang sentiasa berzikir atau mengingati Allah pada setiap waktu, memohon ampun kepadaNya dan berdoa kepadaNya. Ini semua akan menyebabkan manusia itu dekat dengan Allah sehingga akan merasakan hubungannya dengan Allah semakin kuat dan erat. Pada saat ini, tidak perlu bimbang lagi dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah dan bersyukurlah dengan apa yang telah diberikan oleh Allah kepadanya. Firman Allah SWT :
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Ra’ad : 28)


Dipetik drp Blog Ustaz Nor Amin

No comments:

Post a Comment