Assalamulaikum wbt..
Syukur Almahdulillah sudah 3 hari kita menjalani Ibadat Puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini..Semoga kita diberi hidayah & kekuatan agar istiqamah bertaraweh, membaca quran, berinfak dan amalan2 lain yang sememangnya dijanjikan ganjaran oleh Allah Azawajala..
Sudah ratusan malah ribuan tahun manusia disyorkan agar menjadi diri sendiri atau be yourself . Namun, sampai saat ini istilah ‘jadi diri sendiri’ or ‘be yourself’ masih saja menjadi misteri sehingga ianya menjadi mimpi saja. Kalau kita mengetahui siapa diri kita dan untuk apa kita diciptakan, maka disanalah kita akan menemukan jalan kejayaan yang sebenarnya. Tulisan ini dibuat dengan harapan dapat memandu pembaca untuk menyedari betapa pentingnya mengetahui diri kita agar kita dapat pula memahami maksud penciptaan diri kita oleh Yang Maha Pencipta. Satu topik yang besar namun wajib kita hayati.
Jawapan kepada persoalan ini terdapat di dalam Firman Allah S.W.T.:
“Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” – (Surah az-Zariyat: ayat 56).
Para ulama’ muktabar telah menghuraikan pengertian ibadah itu dengan panjang lebar yang mana perkataan ibadah ada kesyumulannya (kesempurnaannya) dan mempunyai ruang lingkup yang luas, tidak semata-mata terhad kepada fardhu solah, puasa, zakat dan haji semata-mata, bahkan tugas dan kewajipan kita di dunia ini adalah beribadah dan memperhambakan diri kepada Allah S.W.T. berdasar Firman-Nya tersebut.
Untuk menepati kehendak ibadah dalam seluruh kehidupan ini maka setiap perbuatan yang kita lakukan itu mestilah semata-mata kerana Allah S.W.T. serta mengikut betul-betul arahan yang telah disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. (yakni mengikuti segala Sunnah Nabi S.A.W.)
Jika demikian segala makanan, minuman, pelajaran, pekerjaan, pendidikan jasmani, perkahwinan dan mendidik anak adalah merupakan jalan-jalan atau faktor-faktor yang membantu kita untuk taatkan Allah S.W.T. serta teguh beribadah kepada-Nya. Juga menjadikan kita bertaqarrub (menghampirkan diri) kepada Allah S.W.T. Ini bermakna rumah, sekolah, kilang, pejabat, sawah ladang, padang permainan, gedung perniagaan dan sebagainya adalah medan beribadah. Bahkan seluruh bumi Allah S.W.T. ini merupakan ‘masjid’, tempat menunaikan ibadah dalam realiti kehidupan. Inilah yang Al-Hikmah belajar daripada Ustaz-ustaz yang mengajar di surau Al-Hikmah.
Ustaz-ustaz menerangkan bahawa sesungguhnya beribadah kepada Allah S.W.T. tidaklah terhad kepada mengerjakan solah, puasa, zakat dan haji dan perkara yang berkaitan dengannya seperti tilawah al-Quran, zikir, berdoa, beristighfar dan sebagainya sahaja sebagaimana fahaman sesetengah kita orang Islam (yang mendakwa mereka Islam). Ramai yang telah menyangka bahawa apabila mereka telah menunaikan fardhu-fardhu dan syiar-syiar yang tersebut bererti mereka telah manyempurnakan hak Allah S.W.T. terhadap mereka sepenuhnya. Mereka menyangka sudah selesai ditunaikan kewajipan ‘Ubudiyyah terhadap Allah S.W.T. Pada hal tanggapan tersebut meleset daripada hakikatnya yang sebenar.
Sebenarnya tidaklah dikira ibadah kepada Allah S.W.T. jika seseorang itu berfahaman: Aku solah, aku berpuasa, aku berzakat dan aku menunaikan haji tetapi aku bebas makan daging babi, minum arak, makan riba, berjudi, tidak tutup aurat, tidak tundukkan pandangan, bergaul bebas, tidak jaga lidah serta menolak hukum-hukum syariat Allah S.W.T. yang tidak sesuai dengan pandanganku. Juga tidak dikira ibadah kepada Allah S.W.T. bagi orang yang menganggap ibadahnya hanya berada ketika di kawasan masjid, tetapi apabila ia keluar dari masjid dan mencebur diri dalam bidang-bidang kehidupan lain dia menjadi hamba kehendak dirinya, bebas mengikut kehendak hawa nafsunya dengan tidak menghiraukan hukum-hukum Allah S.W.T. Inilah kefahaman kita yang sudah terkeliru oleh syaitan. Nah! sekarang kita kena muhasabah diri dan mesti memperbetulkan fahamannnya kembali mengenai Islam dan ibadah kepada Allah S.W.T. secara TOTAL.
Semoga seluruh kehidupan kita berada dalam keredhaan Allah S.W.T. Cukuplah bagi seseorang Muslim itu berfikir bahawa ia adalah Khalifah Allah S.W.T. di muka bumi ini untuk menjalankan tugas dan arahan Allah S.W.T. serta melaksanakan kewajipan ber’ubudiyyah kepada Allah S.W.T. semat-mata. Memadai ia berbuat demikian untuk mencorakkan segala jenis amalannya dengan corak Islam hinggalah segala perkataan, perbuatan dan diamnya itu ibadah kepada Allah S.W.T..
Menurut Sheikh besar Mesir Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi bahawa ibadah itu merangkumi dua tugas besar yang menjadi teras bagi semua perkara yang tersebut sebelum ini. Tugas tersebut ialah:
1. Menyeru kepada kema’rufan dan mencegah daripada kemunkaran.
2. Berjihad ke jalan Allah S.W.T.
2. Berjihad ke jalan Allah S.W.T.
Kerja atau tugasan ini adalah perintah Allah S.W.T. sebagaimana di dalam surah Ali-Imran ayat 104:
“Dan hendaklah diantara kamu ada segolongan orang yang yang menyeru kepada kebaikan,menyuruh (berbuat) yang ma’ruf, dan mencegah yang munkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
Dan Rasulullah S.A.W. juga berpesan,
Barang siapa melihat kemungkaran dilakukan dihadapannya, maka cegahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka cegahlah dengan lidahnya. Jika tidak mampu, maka bencilah dengan hatinya. Dan itu adalah selamah-lemahnya iman.” (HR.Muslim, Tirmidzi, Nasa’i, dari Abu Said Alkhudri)
Menurut huraian asy-Syahid Sayyid Qutb pula bahawa kerja-kerja menyuruh kepada ma’ruf serta mencegah daripada munkar tidak boleh dipandang ringan. Umat ini tidak berjaya selagi ma’ruf tidak tertegak sebagai ma’ruf dan munkar tidak dimusnahkan sebagai munkar. Untuk melaksanakan tugas yang besar itu maka perlulah kepada pembentukan Ummah. Ummah yang tertegak atas dasar Iman kepada Allah S.W.T. dan Persaudaraan kerana Allah S.W.T. agar hukum-hukum Allah S.W.T. terlaksana, kerja-kerja ma’ruf berjalan dengan senang, kebenaran mengatasi kepalsuan, kebaikan sentiasa disokong dan kemungkaran sentiasa di tentang. Untuk sampai kepada ummah Islam sedemikian maka jihad yang berterusan diperlukan dan mengikuti jalan-jalan yang betul sebagaimana yang telah digariskan oleh Rasulullah S.A.W.
Nah! sahabat-sahabatku, inilah maksud sebenar kita diciptakan oleh Allah S.W.T. di mukabumi Allah yang indah ini. Bukan untuk bersenang-lenang tapi untuk menjadi khalifah mukabumi. Ayuh kita muhasabah diri kita hari ini. Banyak kerja kita lagi hari ini. Kenapa? Lihat video ini….
No comments:
Post a Comment