Ramai
orang berkata ia Cinta kepada Allah Subhanahuwa Taala. Katanya itu hendaklah
diuji sama ada tulen atau hanya palsu.
Ujian
pertama ialah; Dia hendaklah tidak benci kepada mati kerana tidak ada orang
yang enggan bertemu dengan sahabatnya. Nabi Muhammad saw bersabda; "Siapa
yang ingin melihat Allah, Allah ingin melihat dia." Memang benar ada juga
orang yang ikhlas cintanya kepada Allah berasa gentar apabila mengingat
kedatangan mati sebelum ia siap membuat persediaan untuk pulang ke akhirat,
tetapi jika betul-betul ikhlas, dia akan bertambah rajin berusaha lagi untuk
membuat persediaan itu.
Ujian
kedua ialah ia mestilah bersedia mengorbankan kehendaknya untuk menurut
kehendak Allah dan sedaya upaya menghampirkan diri kepada Allah dan benci
kepada apa sahaja yang menjauhkan dirinya dengan Allah. Dosa yang dilakukan
oleh seseorang itu bukanlah bukti ia tidak cinta kepada Allah langsung tetapi
itu membuktikan yang ia tidak menyintai Allah sepenuh jiwa raganya. Fudhoil bin
Iyadh seorang wali Allah berkata kepada seorang lelaki; "Jika sesiapa
bertanya kepada mu sama ada kamu cinta kepada Allah, hendaklah kamu diam kerana
jika kamu kata: "Saya tidak cinta kepadaNya", maka kamu kafir dan
jika kamu berkata, "Saya cinta", maka perbuatan kamu berlawanan
dengan katamu."
Ujian
yang ketiga ialah ingat kepada Allah itu mestilah sentiasa ada dalam hati
manusia itu tanpa ditekan atau diusahakan benar, kerana apa yang kita cinta itu
mestilah sentiasa kita ingat. Sekiranya cinta itu sempurna, ia tidak akan lupa
yang dicintainya itu. Ada juga kemungkinan bahawa sementara cinta kepada Allah
itu tidak mengambil tempat yang utama dalam hati seseorang itu, maka cinta
kepada menyintai Allah itu mungkin mengambil tempat jua, kerana cinta itu satu
perkara dan cinta kepada cinta itu adalah seperkara lain pula.
Ujian
keempat kemudian menunjukkan adanya cinta kepada Allah ialah bahawa seseorang
itu cinta kepada Al-Quran, iaitu Kalam Allah, dan cinta kepada Muhammad iaitu
Rasul Allah. Jika cintanya benar-benar kuat, ia akan cinta kepada semua orang
kerana semua manusia itu adalah hamba Allah. Bahkan cintanya meliputi semua
makhluk, kerana orang yang kasih atau cinta kepada seseorang itu tentulah kasih
pula kepada kerja-kerja yang dibuat oleh kekasihnya itu dan cintanya juga
kepada tulisan atau karangannya.
Ujian
kelima ialah ia suka duduk bersendirian untuk maksud beribadat dan ia suka
malam itu lekas datang agar dapat berbicara dengan rakan atau sahabatnya tanpa
ada yang menggangu. Jika ia suka berbual-bual di siang hari dan tidur di malam
hari maka itu menunjukkan cintanya tidak sempurna. Allah berfirman kepada Nabi
Daud, "Janganlah terlampau karib dengan manusia, kerana ada dua jenis
manusia tersingkir dari MajlisKu: iaitu mereka yang bertungkus mencari ganjaran
dan menjadi pemalas apabila mereka mendapat ganjaran itu; dan mereka yang
mementingkan diri mereka sendiri lalu melampaui aku. Tanda tidak redhanya aku
ialah aku biarkan mereka begitu sahaja." Pada hakikatnya, jika cinta
kepada Allah itu benar-benar mengambil tempat seluruhnya didalam hati seseorang
itu, maka cintanya kepada yang lain itu tidak akan dapat mengambil tempat
langsung ke dalam hati itu. Seorang dari Bani Israel telah menjadi kebiasaan
sembahyang di malam hari. Tetapi apabila melihat burung bernyanyian di sepohon
pokok dengan merdu sekali, dia pun sembahyang di bawah pokok itu supaya dapat
menikmati nyanyian burung itu. Allah menyuruh Nabi Daud pergi berjumpa dia dan
berkata, "Engkau telah mencampurkan cinta kepada nyanyian burung dengan
cinta kepadaKu, Martabat engkau di kalangan Auliya' Allah telah
diturunkan," Sebaliknya ada pula orang yang terlalu cinta kepada Allah,
suatu hari sedang ia melakukan ibadatnya kepada Allah rumahnya telah terbakar,
tetapi ia tidak nampak dan sedar rumahnya terbakar.
Yang
keenam ialah ibadatnya menjadi senang sekali. Seorang Wali Allah ada berkata,
"Dalam tiga puluh tahun yang pertama saya melakukan sembahyang malam
dengan susah payah sekali, tetapi tiga puluh yang kedua sembahyang itu menjadi
seronok dan lazat pula kepada saya." Apabila cinta kepada Allah itu sempuna,
maka tidak ada kesoronokan yang setandimg dngan keseronokan ibadat.
Yang
ketujuh ialah orang yang cinta kepada Allah itu akan cinta kepada mereka yang
taat kepada Allah dan mereka benci kepada orang-orang kafir dan orang-orang
yang derhaka kepada Allah. Al-Quran menyatakan "mereka itu bersikap kasar
kepada orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka sendiri." Suatu
masa, Nabi bertanya kepada Allah, "Wahai Tuhan, siapakah kekasihmu?"
Terdengarlah jawapan, "Siapa yang berpegang teguh kepadaKu seperti bayi
dengan ibunya, mengambil perlindungan dengan mengingatiKu seperti burung
mencari perlindungan disarangnya, dan yang marah melihat dosa seperti singa
yang marah yang tidak takut kepada apa dan siapa pun."
No comments:
Post a Comment