Thursday

Ujian dan Dugaan: Tanda Allah Sayang

Ujian dan Dugaan: Tanda Allah Sayang

May 6 200952 Commented
Di dalam al-Quran, ujian dan dugaan disebut oleh Allah sebagai البلاء (bala’) serta الفتنة (fitnah). Menurut kamus المحيط (al-Muhit), kedua-duanya berkongsi maksud yang sama. [Al-Muhit, Kaherah, Mesir. http://lexicons.sakhr.com/intro/intro.aspx?fileurl=takdeem.asp]
Menjalani liku-liku hidup sebagai seorang manusia, kita tidak akan dapat lari daripada diuji oleh Allah Azza wa Jalla. Ujian yang mendatang selalunya menjadikan diri kita lebih tegar dan kuat. Masakan tidak. Ujian mengajar seseorang untuk jadi lebih lasak dalam menggalas setiap bebanan kehidupan.
Menurut Ibn Manzur dalam Lisanu al-‘Arb, bala’ itu adalah ujian yang terdiri daripada yang baik juga yang buruk. Seperti mana yang diberitakan pada surah al-Anbiyaa’ iaitu;

ونبلوكم بالشر والخير فتنة وإلينا ترجعون

Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan. [Al-Anbiyaa’: 35]
Al-Hafiz Ibn Katsir dalam memberikan penerangan terhadap ayat ini menyatakan bahawa Allah menguji hambanya dengan musibah pada satu waktu, dan kemudian dengan nikmat pada waktu yang lain, untuk melihat siapa yang bersyukur dan siapa yang kufur, siapa pula yang sabar, dan siapa yang putus harap.
Dan al-Hafiz ada menukilkan kata-kata Ibnu ‘Abbas dalam menafsirkan ayat ini, bahawa Allah menguji hambanya dengan kecelakaan dan kesenangan, dengan kesihatan dan kesakitan, dengan kemewahan serta kemiskinan, dengan perkara yang halal dan apa yang haram, dengan ketaatan dan kemaksiatan, serta dengan hidayah dan kesesatan. [Tafsir al-Quran al-‘Adzim, Ibn Katsir, Abu al-Fida’.]
Ujian yang berbeza untuk mengukur keimanan
Berdasarkan tafsiran Ibnu ‘Abbas tersebut, dapat kita ketahui bahawa pada setiap orang, berbeza tahap ujian yang dikenakan ke atasnya. Ini adalah selari dengan ayat pada surah al-Baqarah apabila Allah menyatakan;

لا يكلف الله نفسا إلا وسعها

Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya. [Al-Baqarah: 286]
Dari ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa ujian yang dikenakan kepada setiap hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya. Dan setiap orang pula berbeza tahap tanggungannya dan penerimaan mereka terhadap ujian serta dugaan
Ujian yang diberikan juga adalah untuk mengukur tahap keimanan seorang hamba. Ini telah dibuktikan secara jelas berdasarkan ayat 2-3 surah al’-Ankabut;

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون. ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut: 2-3]
Ganjaran menanti bagi yang diuji
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menyifatan bahawa ujian yang diberikan kepada kaum manusia adalah tanda kecintaan Allah kepada mereka. Dan semakin besar dugaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia, menandakan besar juga pahala yang diperoleh. Ini sebagaimana hadith yang datang dari Anas bin Malik, yang menyatakan Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wassalam bersabda;

إن عظم الجزاء مع عظم البلاء ، وإن الله تعالى إذا أحب قوما ابتلاهم ، فمن رضي فله الرضا ، ومن سخط فله السخط

Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha – dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah. [Riwayat al-Tirmidzi, al-Albani menyatakannya sebagai hasan dalam Sahih dan Dha’if Sunan al-Tirmidzi.]
Jelas bahawa ujian yang diberikan adalah untuk menguji keimanan seorang manusia. Jika dia beriman, maka dia akan menerimanya dengan keredhaan. Dan padanya rahmat Allah Azza wa Jalla serta keredhaan-Nya. Namun bagi manusia yang lalai serta tidak meredhai ujian yang diberikan ke atasnya. Maka dia sekadar mendapat kemurkaan daripada Allah.
Hadith di atas termasuk dalam bab Sabar (الصبر) oleh Imam al-Nawawi dalam karya beliau dalam bidang hadith; iaitu Riyadh al-Salihin. Di sini dapat dijelaskan bahawa, bagi orang-orang yang beriman dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala adalah bersabar dengan segala dugaan serta mehnah yang diberikan oleh Allah kepadanya.
Jelas juga, daripada hadith tersebut bahawa semakin besar dugaan yang diperoleh oleh seorang manusia, maka semakin besar ganjara pahala yang akan dia dapati.
Dalam ayat ke-214 surah al-Baqarah, ada dinyatakan bahawa orang yang diuji itu akan mendapat pertolongan daripada Allah serta akan diganjari dengan syurga;

أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأساء والضراء وزلزلوا حتى يقول الرسول والذين آمنوا معه متى نصر الله ألا إن نصر الله قريب

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). [Al-Baqarah: 214]
Bentuk-bentuk ujian yang diberikan
Di dalam al-Quran, ada disebutkan ujian-ujian yang diberikan oleh Allah kepada kaum manusia hambanya. Antaranya adalah;
1. Dugaan yang diberikan kepada kaum Nabi Musa dan Harun adalah dengan anak lembu, yang mana mereka jadikan sembahan. (al-A’raf: 148, Thohaa: 90)
2. Unta betina sebagai ujian buat kaum Tsamud (al-Qamar: 27)
3. Bangunan-bangunan tinggi (yang mewah) buat kaum ‘Ad (al-Fajr: 7-8)
4. Dugaan yang diberikan ke atas pemilik kebun-kebun dari kalangan kaum Musyrik dengan kebakaran. (al-Qalam: 17)
5. Ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa serta buah-buahan. (al-Baqarah: 155)
6. Anak-anak serta harta benda sebagai dugaan. (al-Taghabun: 15)
7. Jihad sebagai ujian bagi orang yang beriman (al-‘Ankabut: 6)
8. Nikmat duniawi sebagai ujian buat para manusia. (al-Zumar: 49)
9. Kekayaan dan kemiskinan sebagai ujian. (al-Fajr: 15-16)
10. Kehidupan serta kematian sebagai ujian. (al-Mulk: 2)
Nabi Allah juga diuji
Para Nabi juga diuji. Dan ujian yang dikenakan kepada para Nabi adalah lebih berat berbanding manusia biasa. Hal ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam;

إن أشد الناس بلاء الانبياء ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم

“Sesungguhnya, manusia yang menerima ujian yang paling berat adalah para Nabi, kemudian orang yang mengikuti mereka, kemudian orang yang mengikuti mereka, dan kemudian orang yang mengikuti mereka.” [al-Silsilah al-Sahihah, al-Albani]
1. Nabi Adam diuji dengan pohon yang terdapat dalam Syurga Allah. (al-Baqarah: 34)
2. Nabi Nuh menghadapi ujian dari anak yang tidak mahu taat kepada Allah. (Huud: 11)
3. Nabi Soleh menerima ujian melalui kaum Tsamud. (al-A’raf:73)
4. Nabi Ibrahim adalah antara Rasul Allah yang menerima banyak ujian, antaranya, penyembelihan anaknya Ismail. (as-Saffat: 102)
5. Nabi Luth diuji dengan kaumnya, (al-A’raf: 80)
6. Nabi Yusuf diuji dengan wanita (Yusuf: 23)
7. Nabi Musa diuji dengan Fira’un yang angkuh. (Thoha: 59-60)
8. Nabi Sulaiman diuji dengan kerajaan yang besar dan mewah. (Sad: 35)
9. Nabi Isa diuji dengan pengikut-pengikutnya. (al-Ma’idah: 112-113)
10. Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam juga Rasul yang dikenakan dengan banyak, antaranya diuji dengan bapa saudaranya, Abu Talib. (al-Qasas: 56)
Bala’ dalam konteks semasa
Mehnah dan tribulasi dalam konteks kehidupan hari ini dapat dilihat di sekeliling kita. Bahawa setiap orang akan diuji dan tiada yang akan terlepas daripada ujian Allah. Perkara yang ringan pada seorang, adalah berat pada satu orang yang lain pula. Dan cara kita berinteraksi dengan dugaan yang mendatang adalah manifestasi keimanan kita kepada Allah. Pada kaca mata orang yang miskin, ujian buatnya adalah dengan kemiskinan. Namun buat orang yang kaya pula, kekayaannya menjadi ujian buat dirinya.
Manusia juga diuji dengan anak-anak. Ada orang yang mendapat anak yang cacat, menjadi dugaan kepada mereka. Ada orang yang mendapat anak yang tenggelam dalam jenayah. Juga menjadi ujian buat dirinya. Ada orang pula mendapat anak yang baik serta bijak. Namun itu juga boleh jadi dugaan buat dirinya.
Lain orang, lain kesusahan yang tertanggung.
Ada orang yang diberikan dengan kesakitan. Sebagai satu peringatan samada dia ingat serta beriman kepada Allah atau tidak. Ada orang pula diuji dengan kesihatan, yang mana jika dia lalai sewaktu sihatnya. Maka itu akan jadi liabiliti padanya. Ada orang diuji dengan kehidupan. Ada orang diuji dengan kematian yang terdekat.
Pendek kata, setiap orang akan, telah, atau mungkin sedang diuji. Namun dengan cara yang berbeza, dengan perasaan yang berlainan. Inilah kebijaksanaan Allah Azza wa Jalla yang menjadikan sesuatu pada takaran yang tersendiri.
Sabar sebagai pelampung bagi orang yang beriman
Orang yang beriman, telah diperingatkan oleh Allah Azza wa Jalla supaya bersabar dalam menghadapi masalah. Telah datang petunjuk buat orang beriman apabila diuji;

يا أيها الذين آمنوا اصبروا وصابروا ورابطوا واتقوا الله لعلكم تفلحون

Hai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersedia dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung. [Ali Imran: 200]
Menurut al-Baghawi, al-Qurtubi menafsirkan arahan supaya bersabar itu adalah merujuk kepada; bersabar di atas ketaatan kepada Allah.
Kesabaran mesti dijana dengan ketaatan sebagai dasar untuk mengelakkan goyah iman serta berputus asa. Bahkan, kerana ketaatan jugalah, manusia akan menjadi redha atas ujian yang berlaku.
Sabar itu juga adalah sunnah para Nabi dan Rasul. Ini jelas sebagaimana dikhabarkan oleh Allah;

وإسماعيل وإدريس وذا الكفل كل من الصابرين

Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta ZulKifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar. [Al-Anbiya’: 85]
Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam menyatakan bahawa Allah menyukai orang yang bersabar. Ini adalah sebagaimana yang datang di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas;

قال رسول الله صلى الله عليه و سلم للأشج أشج عبدالقيس إن فيك خصلتين يحبهما الله الحلم والأناة

Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam berkata kepada al-A-syaj Abdul Qays; “Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua perkara yang dicintai oleh Allah, iaitu kesabaran serta lemah lembut.” [Riwayat Muslim]
Kaedah Bersabar
Rasulullah melalui satu hadith mengisyaratkan bersabar itu perlulah pada awal kejadian atau pada kejadian yang pertama.

الصبر عند الصدمة الأولى

Bersabar itu adalah pada pukulan yang pertama. [Riwayat Muslim]
Jika dilihat pada sudut logik akal, manusia ini diukur pada peringkat yang awal. Peringkat pertama adalah yang paling penting dalam menghadapi sesuatu hal. Seandainya dia tidak mampu bertahan pada ujian yang awal. Nescaya, pada yang seterusnya dia mungkin saja rebah. Jadi, di sini, bilamana dikenakan ujian, maka penting sekali untuk kita membina ketahanan diri. Bukan atas faktor ‘alah bisa tegal biasa’, akan tetapi, apabila seorang manusia sudah mempunyai pengalaman pada yang awal tentu sekali dia sudah mula bersedia dan menjadi lebih rasional dalam menghadapi ujian lain yang sama takaran dengannya.
Kesimpulan
Maka bersabarlah. Bersabarlah dalam menghadapi dugaan dan ujian daripada Allah dengan mencontohi sikap para Nabi. Dan ketahuilah, bahawa untuk setiap ujian yang diberikan oleh Allah pasti aka nada perkara yang lebih baik menanti.
Maka, jadikanlah, atsar dari ‘Umar al-Khattab ini sebagai panduan.
Umar berkata, “Alangkah baiknya mendapat separuh beban pada dua sisi binatang tunggangan. Alangkah baiknya apa yang ada di antara beban dua sisi itu, “iaitu, orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, ‘Sesungguhnya kami kepunyaan Allah, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Nya.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Baqarah: 156-157). Juga firman-Nya, “Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu.” (al-Baqarah: 45) [Riwayat al-Bukhari, http://opi.110mb.com/haditsweb/bukhari/b23_kitab_jenazah.htm]
Wajib untuk kita bersabar, dan selain itu, untuk bersyukur kepada Allah Azza wa Jalla. Kerana orang yang diberikan musibah, atau ujian, pasti akan mendapat ganjaran dari Allah Azza wa Jalla, sebagaimana hadith yang datang pada awal tadi.
Dan bersabarlah! Kerana Allah bersama-sama orang yang sabar!

يا أيها الذين آمنوا استعينوا بالصبر والصلاة إن الله مع الصابرين

Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar. [al-Baqarah: 153]

Tuesday

ISLAM, IMAN DAN IHSAN

Islam, iman dan ihsan

Pendahuluan
Pada kesempatan kali ini, ruangan ini akan membincangkan tiga istilah utama dalam penghayatan cara hidup Islam yang sebenar. Perkataan Islam, iman dan ihsan adalah suatu gabungan yang cukup mantap bagi melahirkan seorang insan yang kamil (sempurna).
Pengertian iman dan konsepnya.
Iman dari segi bahasa membawa erti percaya. Dalam konteks penghayatannya di kalangan umat Islam, iman membawa maksud mengaku dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mengamalkannya dengan anggota.
Dalam erti kata lain bahawa seseorang yang mengaku dengan lidahnya mengenai keesaan dan kekua saan Allah, mestilah membenarkannya dengan hati dan melaksanakan segala perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya.
Terdapat enam asas kepercayaan dalam amalan, cara hidup Islam yang dikenali sebagai rukun-rukun iman. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadisnya yang bermaksud:

"Iman itu ialah bahawa kamu yakin dan;  percaya kepada Allah, 
percaya kepada malaikat-malaikat-Nya, 
percaya kepada kitab-kitab-Nya, 
percaya kepada rasul-rasul-Nya, 
percaya dengan kedatangan Hari Akhirat dan 
percaya dengan ketentuan balk dan buruk dari-Nya".
Orang yang tidak percaya dan tidak yakin dengan perkara-perkara atau rukun-rukun iman tersebut adalah kafir. Orang Islam yang menafikan salah satu atau semua rukun iman dianggap murtad iaitu terkeluar daripada agama Islam.Pengertian Islam dan konsepnya.
Islam daripada segi bahasa bererti sejahtera. Dalam konteks penghayatannya di kalangan umat Islam ia bermaksud menyerah diri, tunduk dan patuh melaksanakan segala perintah Allah dan membenarkan semua ajaran yang dibawa oleh Rasulullah.
Terdapat lima perintah Allah yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan oleh seseorang Islam yang dikenali sebagai rukun-rukun Islam. Rukun-rukun Islam ini terkandung dalam sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud:

"Islam itu adalah bahawa engkau bersaksi tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan solat, menunaikan puasa, mengeluarkan zakat dan mengerjakan zakat dan mengerjakan haji dia Makkah jika berkemampuan." 
 Konsep ihsan
Konsep ihsan ini telah digambarkan oleh Rasulullah dalam sebuah hadisnya yang bermaksud:
"Ihsan adalah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia sedang melihat kamu"
Hadis ini menjelaskan bahawa ihsan itu adalah tindakan seseorang melakukan sesuatu amalan atau kebaikan kerana menyedari bahawa Allah sedang memerhatikan gerak-gerinya dan dia hanya mengharapkan balasan baik daripada Allah semata-mata.Dalam erti kata lain bahawa semua amalan kebajikan yang dilakukan adalah dengan penuh keikhlasan.
Intisari hubungan antara iman, Islam dan ihsan.
Setelah dijelaskan maksud iman, Islam dan ihsan, maka suatu kesimpulan dapat dibuat berdasarkan hubungan ketiga-tiganya iaitu:
Seseorang yang percaya dan yakin dengan keesaan dan kekuasaan Allah (iman) akan sentiasa tunduk menerima perintah Allah dan patuh melaksanakan nya (Islam) dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan ganjaran oleh manusia (ihsan).
Gabung jalin antara keyakinan terhadap Allah, kepatuhan melaksanakan perintah-Nya dan keikhlasan yang sepenuhnya akan melahirkan insan yang seimbang dan kamil
Soalan perbincangan
Soalan
1.Insan yang sempurna adalah orang sempurna Iman, Islam dan ihsannya. Jelaskan ciri-ciri utama yang ada pada insan tersebut.
Jawapan
Ciri-ciri orang yang sempurna iman, Islam dan ihsannya adalah seperti berikut:
  1. Percaya dan yakin dengan kewujudan Allah dan kekuasaan-Nya.
  2. Percaya dan yakin dengan kewujudan para malaikat, kitab-kitab suci Allah, para rasul, kehadiran Hari Akhirat dan ketentuan balk dan buruk daripada Allah.
  3. Taat dan tekun melaksanakan perintah-perintah Allah seperti solat lima waktu sehari semalam, puasa sebulan di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji di Makkah.
  4. Sentiasa ikhlas dalam semua amalan yang dilakukan dan sentiasa mengharapkan hanya ganjaran daripada Allah semata-mata.
 Soalan
Keimanan adalah antara unsur-unsur penting bagi melahirkan insan yang sempurna. Jelaskan kesankesan kelmanan seseorang terhadap kedatangan Hari Akhirat.
Jawapan
Di antara kesan keimanan terhadap kedatangan Hari Akhirat ialah:
  1. Seseorang itu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengumpul kekayaan dan membelaniakan sebahagian daripadanya ke jalan Allah.
  2. Seseorang itu akan sentiasa menganialkan sifat amanah dalam segala urusan dunianya.
  3. Seseorang itu akan sentiasa ikhlas atau hanya mengharapkan ganjaran daripada Allah bagi setiap kebaikan yang dilakukannya.
  4. Seseorang itu akan sentiasa patuh melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.
  5. Seseorang itu akan sentiasa meniaga hubungan balk sesama manusia, tidak menganiayai binatang dan tidak merosakkan alam sekitar.
  6. Seseorang itu akan sentiasa aktif menyeru masyarakat melakukan kebaikan serta mencegah mereka daripada melakukan kejahatan.
 Soalan
Kepercayaan terhadap kewujudan para malaikat adalah salah satu daripada rukun iman. Jelaskan kesan
beriman dengan para malaikat berikut:
  1. Malaikat Jibril
  2. Malaikat Mikail
  3. Malaikat lzrail
  4. Malaikat Raqib
  5. Malaikat Reduan
JawapanKesan beriman dengan para malaikat adalah seperti berikut :

Malaikat
Kesan keimanan
a. JibrilSeseorang itu tidak akan ragu-ragu lagi untuk beriman dan beramal dengan al-Quran kerana yakin ia diturunkan oleh Allah melalui Malaikat Jibril.
b. Mikail Manusia akan sentiasa berusaha kerana yakin rezeki sentiasa diturunkan oleh Allah melalui Malaikat Mikail
c. Izrail Manusia akan sentiasa berusaha memperbanyakkan amalan kebajikan sebegai bekalan untuk hidup bahagia di Akhirat kerana yakin mereka akan dimatikan.
d. RaqibManusia akan sentiasa berhati-hati untuk melakukan sebarang tindakan kerana ia akan dicatatkan dan akan dihitung di Akhirat kelak.
e. ReduanManusia akan sentiasa melakukan semula amalan kebajikan dengan penuh keikhlasan untuk mendapatkan balasan nikmat di Syurga.


6 Pertanyaan Imam Al-Ghazali

6 Pertanyaan Imam Al-Ghazali

1. Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia?
2. Apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia?
3. Apakah yang paling besar di dunia?
4. Apakah yang paling berat di dunia?
5. Apakah yang paling ringan di dunia?
6. Apakah yang paling tajam di dunia?

Pada suatu hari Imam Ghazali berkumpul bersama-sama dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya beberapa soalan:

PERTAMA : beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :"Orang tua, guru, kawan dan sahabat". Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagi soalan ini ialah 'mati'. Sila rujuk surah Ali 'Imran ayat 185.

KEDUA : beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :" negara China, bulan, matahari dan bintang". Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'masa lalu'. Walau dengan apa cara sekali pun kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti.

KETIGA : beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: " Gunung, bumi, matahari". Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah 'nafsu'. Maka kita mesti berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahanam. Rujuk surah al-A'raf ayat 179

KEEMPAT : beliau bertanya tentang apakah yang paling berat di dunia lalu muridnya menjawab :" besi, gajah". Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'menanggung amanah'. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak.

KELIMA : beliau menyoal tentang apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab :" Kapas, angin, debu dan awan". Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'meninggalkan sembahyang' kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.

KEENAM : beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab:''Pedang". Imam Ghazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'lidah manusia' di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan.